BAGAN SERAI - Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) lebih menguntungkan rakyat berbanding penurunan harga minyak seperti yang dijanjikan pembangkang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata golongan yang memerlukan lebih mendapat manfaat melalui pemberian BR1M.
"Kita kurangkan minyak siapa untung? orang kaya pun untung, orang kaya bawa kereta besar pun untung, pelancong pun untung, pendatang tanpa izin pun untung, pekerja asing pun untung, orang yang jual (seludup) minyak pun untung. Kalau kita bagi BR1M, siapa untung? rakyat untung...sekarang ini kita (rakyat kurang kemampuan) dapat lima keping (wang kertas RM100)," katanya sambil meminta rakyat membandingkan adakah penurunan harga minyak lebih menguntungkan mereka berbanding pemberian BR1M.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Rakyat 1Malaysia Parlimen Bagan Serai di sini hari ini. Najib berkata pemberian BR1M membolehkan golongan sasar menggunakannya mengikut keperluan masing-masing. “Bila kita dapat BR1M, kita boleh buat keputusan (guna untuk keperluan), bila kita dapat BR1M bukan sahaja kita untung, siapa lagi untung? Pekedai pekedai juga untung, peniaga semua untung, pasar tani dan pasar minggu pun untung.
"Jadi ekonomi kita berkembang, orang putih kata 'domestic demand' (permintaan domestik).
Teori ekonomi kita tepat," katanya.
Katanya Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri kerana boleh menguruskan ekonomi negara dengan baik.
Beliau berkata apa yang dilaksanakan oleh kerajaan BN selaras dengan slogan "mendahulukan rakyat".
"Kita telah tunjukkan bahawa kita adalah kerajaan mendahulukan rakyat, saya tidak buat slogan, saya jadikan ini sebagai falsafah untuk pegangan kita, sebab itulah apa yang kita lakukan ialah untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Katanya pembangkang hanya menabur janji yang belum tentu dapat dilaksanakan.
"Bila jadi menteri kewangan dulu apa dia (Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim) buat? Saya kata bahawa nilai pada kepimpinan manusia ialah apa dia buat bila dia ada kuasa, bukan waktu dia tidak ada kuasa.
Waktu dia tak ada kuasa dia boleh janji dan dia tabur janji. Itu mahu hapuskan, ini mahu dihapuskan," katanya.
Perhimpunan itu dihadiri kira-kira 5,000 penduduk sekitar kawasan Bagan Serai dan kehadiran Najib diiringi konvoi bermotosikal membabitkan 1,000 orang. – Bernama
Mengikut kenyataan DS Najib ianya bermakna Rakyat Malaysia masih ramai yang tidak mampu memiliki kenderaan bermotor sekurang-kurangnya Motorsikal… Sekiranya Rakyat Malaysia mampu memiliki kenderaan bermotor maka semua akan mendapat manfaat daripada pengurangan harga bahan bakar ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan