Robert Tan (kanan, atas bas), Rosie Tan (dua dari kanan, atas bas) dan Tan Keng Meng (tiga dari kiri) bersama pengurusan syarikat dan model bergambar pada majlis pelancaran kilang dan bas Alpha di Kuala Lumpur, semalam
SERI KEMBANGAN 30 April - Truckquip Sdn. Bhd. (Truckquip), anak syarikat Tan Chong Motor Holdings Bhd. (TCMH) menyasarkan menguasai 20 peratus pasaran bas tempatan dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi selepas berjaya melancarkan bas pertamanya hari ini.
Pengarah Eksekutifnya, Tan Keng Meng berkata, Truckquip telah mencatat sejarah dengan melancarkan bas sendiri dikenali sebagai Alpha selepas membuat pelaburan sebanyak RM16.8 juta untuk kilangnya yang terletak Kawasan Perusahaan Seri Kembangan, di sini.
Menurutnya, Truckquip telah membangunkan reka bentuk badan Alpha dengan lebih 80 peratus komponennya diperoleh daripada pasaran tempatan, manakala casisnya menggunakan jenama Foton, UD dan Silverbus.
"Kami menyasarkan menjual 30 buah bas dalam tempoh baki lapan bulan tahun ini. Bas Alpha boleh diubahsuai mengikut kehendak pelanggan dan Truckquip telah lama mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan. Truckquip dijangka mampu membina 60 hingga 96 buah bas dengan perolehan sebanyak RM6.6 juta dalam tempoh tiga tahun," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran bas Alpha hari ini.
Turut hadir Pengarah Tan Chong & Son Motor Company Sdn. Bhd. Datuk Robert Tan dan Pengarah Eksekutif TCMH, Datuk Rosie Tan
Menurut Keng Meng, kilang Truckquip mampu menghasilkan 200 buah bas setahun dengan satu shif operasi dan berdasarkan keupayaan berkenaan, syarikat mampu meneruskan kontrak pemasangan bas jenama lain.
"Buat masa ini, tumpuan hanya diberikan kepada pasaran tempatan dan jika terdapat permintaan untuk eksport, kami tidak mempunyai masalah untuk melakukannya. Kami mahu menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah model bas baharu setahun. Kami juga telah merangka pembangunan fasa dua kilang Truckquip," katanya.
Kilang Truckquip mempunyai keluasan binaan 11,334 meter persegi di atas tanah seluas 2.2 hektar, manakala tanah seluas 1.6 hektar telah diperuntukkan untuk fasa kedua.
Harga jualan bas Alpha bermula dari RM208,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan