Ahad, 30 Oktober 2011

Hari Tanpa Beg Plastik

Hari Tanpa Beg Plastik adalah satu kempen yang telah dimulakan oleh kerajaan Selangor bermula awal tahun ini dan perlaksanaannya mula dapat dilihat. Kempen Hari Tanpa Beg Plastik yang bertujuan menyemai semangat sayangkan bumi ini mampu dijadikan sebagai tabiat harian dan bukan sahaja untuk hari Sabtu bagi penduduk di Selangor. Hari Tanpa Beg Plastik untuk setakat ini hanyalah disertai dan disokong oleh organisasi-organisasi dan pasaraya-pasaraya besar seperti Carrefour, Giant, Tesco, SpeedMart, 7-Eleven, Mydin dan sebagainya.

Lebih kurang 500 billion ke 1 trilion beg plastik digunakan serata dunia. Ini bermaksud lebih dari sejuta beg plastik dalam seminit. Dan berbilion-billion beg ini akan menjadi sampah. Apakah yang membimbangkan tentang plastik? Plastik merupakan bahan yang diperbuat dan sebuah sumber yang amat berharga - minyak. Lebih banyak plastik kita gunakan hari ini, berkuranglah bekalan minyak kita pada masa hadapan.

Sewaktu beg plastik dihasilkan, satu bahan karsinogen, benzen, dihasilkan. Beg plastik tidak dapat lupus dari muka bumi. Kalau pun kita mengurangkan penggunaan beg-beg plastik dan sekarang, masih terdapat banyak lagi beg plastik yang sudah sedia terkumpul.

Beg plastik sukar dihapuskan. Sekiranya dibakar, ia membebaskan karsinogen, satu bahan penyebab kanser. Sekiranya ditanam, bahan toksin di dalamnya boleh memasuki sumber air minum kita. Binatang yang menyangka beg plastik makanan boleh mati apabila makan beg plastik tersebut. Selain itu beg plastik juga menyebabkan, berlaku peresapan air yang  menyebabkan banjir, dan merosakkan kesuburan tanah.

Beg plastik tergolong “barang sekali pakai” sehingga memperbanyak sampah. Kalau kita belanja bulanan di pusat membeli-belah, sekali belanja kita akan memakai paling tidak 4 beg plastik dalam berbagai ukuran. Jakarta menghasilkan sekitar 6 000 ton sampah setiap hari, yang lebih dari setengahnya adalah sampah non-organik terutama plastik dan kertas.

Dari segi ekonomi, mengitar semula beg plastik tidak mendatangkan untung, kos mengitar semula satu tan beg plastik adalah $4000 dan hasilnya hanya boleh mendapat $32 dalam pasaran komoditi.

Untuk menghasilkan beg  plastik, setiap tahun diperlukan 12 juta barrel minyak ditambah lagi sekarang terjadi krisis minyak yang mengakibatkan melambung nya harga BBM.

Pengurangan beg plastik akan mengurangkan pergantungan terhadap minyak dari negara asing. Jika kita menggunakan beg yang boleh digunakan semula, sebaknya 6 beg plastik dapat dijimatkan.

Jika hanya 1 daripada 5 orang di Malaysia mengamalkan tabiat ini, kita dapat mengurangkan sebanyak 110,822,400,000 beg sepanjang umur.

Beberapa buah negara telah mengharamkan penggunaan beg plastik. Contohnya negara China  telah mengharamkan pemberian beg plastik percuma. Ekoran daripada itu, negara China akan menjimatkan 37 juta tong minyak.

Apa yang menjadi persoalannya, bukannya siapa yang mengamalkan dan mengikuti program ini, tetapi retailer-retailer berkenaan mengambil kesempatan di atas kempen yang dijalankan ini untuk mengaut keuntungan dengan menjual beg-beg plastik kepada pengguna/ pelanggan mereka. Ini bukannya menyokong kempen Hari Tanpa Beg Plastik, ianya dikira mengambil kesempatan seolah mereka menangguk di air keroh. Kepada yang berkenaan sekiranya retailer ini menyokong usaha untuk mengurangkan penggunaan beg plastik demi menjaga kehijauan bumi, mereka seharusnya menyediakan beg-beg kertas ataupun sebarang bentuk medium tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Jumaat, 28 Oktober 2011

Teknologi Komunikasi Maklumat. (ICT)

Pada hari ini, perkembangan teknologi komunikasi maklumat begitu pesat. Kita mampu untuk berhubung dan menyampaikan sesuatu berita dan maklumat kepada penerima yang letaknya berjuta batu jaraknya dalam masa nyata (real time). Sebarang bentuk maklumat boleh disampaikan tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi seperti suatu masa dahulu. Tiada usaha melibatkan ketenteraan dan tenaga manusia berlebihan untuk menyampaikan sesuatu maklumat.
Suatu ketika dahulu, maklumat disampaikan dengan pelbagai kaedah seperti menggunakan utusan, binatang seperti burung dan isyarat fizikal lain yang nampak seperti asap, cahaya dan sebagainya. Maklumat yang disampaikan juga adalah terbatas oleh kekangan jarak dan penglihatan manusia. Namun pada hari ini maklumat boleh disampaikan hanya menekan butang.
Perkembangan teknologi maklumat pada hari ini begitu hebat seperti suatu letupan dalam menyampaikan maklumat. Pelbagai perkakasan atau gadget direka dan dinaik taraf setiap hari untuk menjadi yang terbaik dalam menyampaikan maklumat. Hampir setiap hari gadget dan pruduk komunikasi yang pelbagai varian dilancarkan dipasaran dan pada masa yang sama juga, kajian dan penyelidikan dijalankan dimakmal-makmal dan pusat penyelidikan dan pembangunan untuk mengatasi yang lain.
Maklumat dapat disampaikan dengan lebih cepat, tepat dan maklum balas juga dapat diperolehi pada masa nyata. Sungguh hebatnya, namun begitu jangan kita lupa dan alpha akan teknologi ini adalah kerana ilmu dari yang Maha Pencipta, yang Maha Esa yang menciptakan gelombang yang dimanipulasi oleh manusia melalui gadget dan perkakasan yang ada.
Perlu diingat, kemajuan dan perkembangan Teknologi Komunikasi Maklumat jika digunakan secara yang salah boleh mengakibatkan kemusnahan yang amat sangat sehinggakan tidak ada satupun manusia yang pernah hidup dapat membayangkan kemusnahannya.
Sebuah kerajaan dan negara boleh digulingkan dan dijatuhkan hanya dengan menggunakan telefon pintar. Sebagai contoh kekuasaan Hosni Mubarak ditumbangkan oleh rakyatnya sendiri dengan hanya menggunakan telefon pintar. Dan pastinya setiap kejahatan yang berlaku ada dalang disebaliknya yang sememangnya merancang untuk menjatuhkan kekuasaan sesebuah negara dan pemimpin tertentu kerana kepentingan tertentu.
Semoga kita mengambil iktibar dari segala apa yang berlaku dan telah berlaku dalam dunia ini. Gunakan teknologi ini ke arah kebaikan maka baiklah hasilnya dan pulangannya. Harus di ingat bahawa dalam keadaan negara kita yang hidup dengan aman dan damai boleh digugat hanya menggunakan telefon pintar… oleh itu berwaspadalah sentiasa dan penyalahgunaan gadget akan mengundang keburukan yang nyata.

Khamis, 27 Oktober 2011

Gred SBPA

Sejak diumumkan dalam Pembentangan Belanjawan 2012, pelbagai spekulasi dan tanggapan serta pelbagai pendapat tentang SBPA diperolehi dan di hantar dalam webpages, blog dan juga pelbagai medium sosial yang ada sekarang. Namunpun begitu SBPA yang bakal dilaksanakan menggantikan SSM masih belum ada tanda-tanda akan di endorskan oleh agensi pusat yang mengawal setiap perkhidmatan awam di Malaysia iaitu Perkhidmatan Awam Persekutuan, Perkhidmatan Awam Negeri, Badan Berkanun Persekutuan, Badan Berkanun Negeri dan juga Pihak Berkuasa Tempatan.
Pelbagai khabar angin mengenai pelaksanaan SBPA dan kenaikan gaji penjawat awam cuba dibongkar oleh penulis blog dan juga orang ramai termasuk penjawat awam sendiri. Laman web rasmi segnsi pusat dihujani dengan carian mengenai SBPA namun semuanya gagal mendapatkan maklumat yang tepat mengenai SBPA.
Buat pertama kalinya didedahkan secara eksklusif oleh Perdana Menteri Mengenai SBPA dalam Pembentangan Belanjawan 2012, penjawat awam masih tertanya-tanya bagaimana pelaksanaan SBPA akan dilaksanakan. Adakah SBPA lebih baik berbanding sistem-sistem saraan yang pernah diperkenalkan oleh kerajaan semenjak JKK1976, SSB-1992, SSM2002. Bagaimanakah penerimaan semua terhadap SBPA. Semuanya masih menjadi tanda tanya.
Apakah maklumat yang dicari oleh pencari @ surfer mengenai SBPA. Adakah ianya mengenai gaji yang bakal dinikmati oleh penjawat awam, skim perkhidmatannya ataupun grednya. Tunggulah kebenarannya apabila JPA selaku agensi yang bertanggungjawab terhadap perkara itu mengumumkannya secara rasmi di laman web rasmi JPA.
Penantian sememangnya satu penyiksaan, namun penantian pasti akan berakhir hanya masa yang akan menetukannya, bila dan apakah sebenarnya SBPA.
Penjawat awam juga mulai gentar dengan kenaikan gaji yang akan diterima oleh mereka akan mengakibatkan harga barangan keperluan harian akan meningkat secara mendadak dan akan mengakibatkan kenaikan gaji yang diterima tidak membawa sebarang peningkatan taraf hidup.
Itulah yang sebenarnya yang harus diteliti dan diambil kira oleh kerajaan setiap kali membuat keputusan mengenai sesuatu, adakah ianya akan meningkatkan taraf hidup ataupun akan membebankan semua. Peningkatan gaji penjawat awam tidak akan bermakna sekiranya tiada langkah drastik yang diambil oleh pihak bertanggungjawab dalam membendung peningkatan kos sara hidup.
Fikir-fikirkanlah wahai penjawat awam semua. Adakah anda sanggup melihat angka yang besar dalam penyata pendapatan anda namun nilainya adalah begitu rendah.

Rabu, 26 Oktober 2011

Menangguk di air keruh Kedai Rakyat 1 Malaysia

Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), satu inspirasi daripada YAB Perdana Menteri Malaysia ke-6 Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak di atas keperihatinan beliau mengenai peningkatan kos sara hidup rakyat yang berpendapatan rendah di bandar. Berkonsepkan pasar mini, KR1M menjual pelbagai barangan keperluan asas dengan harga yang rendah di lokasi bandar. Terima kasih diucapkan di atas keprihatinan pemimpin no 1 Malaysia ini yang cuba menjadi pemimpin untuk rakyat. Tetapi tanpa disedari beliau, usaha murni yang dilaksanakan demi rakyat telah mengundang petualang-petualang (selayaknya dipanggil) untuk mengambil kesempatan. Apa tidaknya, bayangkan berapa banyakkah keuntung yang dikaut oleh pembekal dan pemilik franshais untuk menjayakan usaha murni PM.

Tahukah dan sedarkah PM, sememangnya harga untuk produk dengan pembungkusan 1 Malaysia sememangnya murah di KR1M, tetapi bagaimana dengan barangan dan produk yang standard dijual dipasaran yang dikenali dengan jenama dan kualitinya yang dijual jauh lebih mahal daripada pekedai-pekedai lain. Tidak semua rakyat  Malaysia boleh menggunakan produk yang dibungkus menggunakan Pembungkusan 1 Malaysia. Ada dikalangan rakyat Malaysia sememangnya dilahirkan tidak sempurna sistem imunitinya tidak boleh menerima produk berkenaan untuk digunakan, sebagai contoh ada diantara rakyat Malaysia berkulit sensitif tidak boleh menggunakan produk yang akan memudaratkan kulitnya dan ada perut yang tidak boleh menerima makanan dan minuman dengan bungkusan 1 Malaysia kerana akan mengakibatkan mereka berasa tidak selesa dan mengakibatkan cirit-birit dan sebagainya.

Sepatutnya KR1M menjual barangan yang biasa dijual di pasaraya-pasaraya dan kedai-kedai runcit biasa tetapi dengan harga 1 Malaysia.

Siapa Pengunjung blog ini?

Pada pandangan anda semua, agak-agaknya siapakah pengunjung yang mengunjungi blog ini. Tentu kamu semua ada jawabannya. Kamulah pengunjung blog ini. Siapakah kamu semua? Apakah pekerjaan kamu semua.
Siapa kamu semua itu tidak aku ketahui, namun yang pasti kamu semua adalah rakyat Malaysia walaupun dari mana kamu datang tidak kira dari Semenanjung atau Sabah dan Sarawak. Kebanyakkan kamu adalah penjawat awam berdasarkan apa yang kamu baca dan kamu semua menggunakan komputer pejabat untuk mengunjungi blog ini. Betul atau salah. Mungkin ada betulnya dan kebarangkaliannya 95% daripada kamu adalah seperti yang saya nyatakan di atas.
Adakah saya nie seorang ahli sihir untuk berkata demikian, bukan tetapi berdasarkan kepada statistik analitik saya cuba mengenali kamu, Kenalkah kamu siapa saya yang menulis dan memiliki blog ini?

Selasa, 25 Oktober 2011

Syor Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba bergabung

Sumber : Utusan Malaysia (Forum); Tarikh : 25 Oktober 2011

PEMERHATI PENYELAMAT
Kuala Lumpur

SECARA umumnya rakyat Malaysia telah sedia maklum dua buah agensi kerajaan iaitu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) memainkan peranan yang amat besar kepada negara dalam aspek menyelamat harta benda dan keselamatan orang awam.

Namun begitu, sebahagian besar rakyat di negara ini masih lagi keliru mengenai perbezaan peranan kedua-dua jabatan berkenaan. Ini kerana mereka mempunyai ruang lingkup penugasan yang hampir serupa.

Jika disingkap dari segi sejarah, Pertahanan Awam atau Civil Defence ini wujud sejak era Perang Dunia Kedua. Ketika itu peranannya amat besar iaitu memberikan bantuan dan pertolongan dalam segenap aspek seperti memadam kebakaran, bantuan perubatan awal, pemindahan mangsa perang, merawat askar yang cedera dan sebagainya.

Selepas pasca kemerdekaan Malaysia, tugas dan peranannya semakin tenggelam. Namun begitu Pertahanan Awam masih relevan sehingga ke hari ini kerana masih gagah di bawah Akta Pertahanan Awamnya sendiri.

Bomba Malaysia pula wujud selepas era kemerdekaan negara. Begitupun, badan tersebut di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri masing-masing.

Dewasa ini Bomba dan Penyelamat Malaysia adalah sebuah Jabatan yang besar, di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), mempunyai kekuatan anggota yang ramai, jentera dan logistik yang banyak serta taburan tempat operasi yang meluas, berbanding JPAM.

Ketika ini, negara telah sedia maklum bahawa kedua-dua agensi tersebut adalah juga rangkaian kepada sistem MERS 999, iaitu Malaysia Emergency Respons System selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hospital.

Apabila terjadinya sesuatu bencana atau malapetaka yang melanda di sesuatu kawasan di negara kita, keempat-empat badan atau agensi berkenaan akan digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

Dari satu aspek, ia adalah amat murni dan terpuji kerana mereka datang dan berada di tempat kejadian dengan satu tujuan iaitu untuk memberikan pertolongan mengikut kemahiran serta bidang kuasa masing-masing.

Namun dari perspektif lain, JPAM dan Bomba seolah-olah mempunyai pertindihan tugas dan peranan. Ada juga sesetengah operasi yang melibatkan kedua-dua agensi berkenaan menimbulkan sedikit krisis yang mengakibatkan hubungan kemanusiaan kedua-dua pihak menjadi tidak erat serta dingin.

Kami sebagai rakyat berpendapat, adalah amat merugikan jika mereka saling menyalahkan antara satu dengan lain jika timbulnya sesuatu isu yang melibatkan aspek pasukan penyelamat berkenaan. Ini terutamanya ketika dalam proses membantu menyelamatkan mangsa-mangsa yang ditimpa musibah.

Sudah tiba masanya untuk kerajaan mengkaji semula peranan atau tugas masing-masing. Atau pun kita mungkin boleh mengambil contoh iktibar dari negara jiran kita, iaitu Singapura yang telah menggabungkan agensi penyelamat utama negara di bawah satu badan sahaja.

Tidak salah rasanya jika Malaysia juga boleh mengambil langkah transformasi dengan menggabungkan JPAM dan Bomba sebagai satu entiti Penyelamat Malaysia yang lebih kukuh, padu, berwibawa dan berkemahiran tinggi dari segenap aspek.

Ini akan dilihat sebagai serampang dua mata, iaitu memperkasakan pegawai dan anggota jabatan berkenaan melalui perkongsian ilmu serta kemahiran, di samping memperbanyakkan aset dan logistik yang sedia ada. Kos belanjawan kerajaan juga boleh ditumpukan di bawah satu agensi/jabatan penyelamat sahaja.

Mungkin kita boleh cadangkan di sini, agensi penyelamat yang digabungkan itu dikenali sebagai Angkatan Penyelamat Pertahanan Awam dan Kebombaan Malaysia (APPAKEM) atau Malaysian Rescue Civil Defence and FireBrigade (MRCDF).

Isnin, 24 Oktober 2011

SBPA Pendedahan Eksklusif

Dalam pembentangan Belanjawan 2012 oleh YAB PM Dato’ Sri Najib bin Tun Abdul Razak telah membentangkan satu fokus Memperkejap Perkhidmatan Awam, Perkhidmatan Awam perlukan transformasi. Dalam usaha Mentransformasikan Perkhidmatan Awam, satu saraan yang baharu diperkenalkan iaitu Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM), SBPA digubal dengan matlamat supaya setiap agensi kerajaan menjadi sebuah organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi. SBPA akan memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja. SBPA ini mempunyai elemen-elemen berikut:
Pertama: Mewujudkan Dasar Pemisah atau exit policy bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan;
Kedua: Menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang. Contohnya, jika di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum adalah 6,325 ringgit dan 39 sen, kelak, di bawah SBPA, gaji maksimum beliau akan meningkat 37.7 peratus kepada 8,710 ringgit. Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah 3,860 ringgit dan 52 sen, kelak nanti, di bawah SBPA ia akan meningkat 39 peratus kepada 5,370 ringgit;
Ketiga: Pada perutusan khas Hari Guru yang lalu, saya telah mengumumkan laluan kerjaya perkhidmatan perguruan siswazah yang lebih baik. Tidak perlu lagi seperti dulu, seorang guru terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk naik pangkat, sebaliknya sekarang, dalam skim baru mengikut time-based, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun ke-8 dan gred 48 pada tahun ke-16. Bagi guru bukan siswazah, dari gred 29 kepada 32, jika mengikut sistem time-based sekarang, ia memakan masa 10 tahun, namun, di bawah SBPA hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja. Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini bergantung pada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah time-based lapan tahun turut diterima pakai; dan
Keempat: Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai tahun 2012, Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara 80 hingga 320 ringgit mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.
Kerajaan sentiasa prihatin ke atas beban kewangan yang ditanggung oleh pesara. Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600 ribu pesara Kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan 600 juta ringgit. Mulai tahun 2013 nanti, Kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.
Dunia yang semakin maju menyaksikan keterdepanan dalam teknologi dan sains perubatan. Hari ini, kita adalah sebuah negara yang secara relatifnya muda namun suka tidak suka, pada suatu masa nanti kita turut akan menghadapi fenomena biasa yang berlaku kepada mana-mana negara sedang meningkat maju dan maju. Antara elemennya, kadar kelahiran berkurang, keluarga memilih untuk mempunyai bilangan anak yang lebih kecil dan kadar penuaan meningkat. Lalu, adalah tidak ekonomikal sifatnya dalam keadaan begini jika umur persaraan tidak dilanjutkan, sedangkan harus barang diingat bahawa kerajaan akan menanggung kos gratuiti dan pembayaran pencen.
Ternyata, penjawat awam yang berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun masih boleh memberi sumbangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka. Oleh itu, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam. Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru.
Kerajaan sentiasa berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa usaha memperbaiki diri dan menambah ilmu di dada tidak berpenghujung malah pembelajaran adalah satu proses sepanjang hayat. Untuk menjadi pelaksana yang berkesan kepada dasar-dasar kerajaan, penjawat awam mesti sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan, mempunyai pemikiran dinamik dan analitis.
Bagi maksud ini, Kerajaan akan menawarkan bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara separuh masa. Pada tahun 2012, Kerajaan dengan kerjasama IPTA akan menawarkan 5,000 peluang peringkat ijazah sarjana dan 500 lagi peringkat kedoktoran falsafah kepada penjawat awam yang layak, termasuklah para guru dengan peruntukan sebanyak 120 juta ringgit. Kita akan menawarkan 20,000 tempat kepada kumpulan guru diploma yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda. Untuk tujuan ini kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 80 juta ringgit bagi tahun pertama. Kita yakin, dengan pendekatan ini, para penjawat awam dan para guru, secara keseluruhan perjalanan kerjaya mereka akan bertambah baik dengan peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah.
Salah satu daripada lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik yang telah dikenal pasti dalam mentransformasikan negara adalah Penambahbaikan Kewangan Sektor Awam atau Public Finance Reform. Inisiatif ini akan dapat meningkatkan keberkesanan dan ketelusan pengurusan kewangan sektor awam. Selain itu, sistem pentadbiran cukai yang cekap dan berkesan merupakan prasyarat untuk memperluaskan asas cukai dan meningkatkan pematuhan oleh pembayar cukai. Langkah penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi berkaitan, di samping memperkukuhkan sistem ICT agensi pengutip hasil.
Kerajaan juga tentunya menghargai khidmat dan jasa kakitangan yang telah menamatkan kontrak dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang berjumlah seramai 4,300 orang. Bagi membantu golongan ini meringankan kos sara hidup, Kerajaan akan memberi bayaran khas sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off.
Tuan Yang di-Pertua,
Lanjutan daripada ucapan saya sempena Hari Malaysia 16hb September baru-baru ini, kita bakal menempa wajah baru landskap sosiopolitik negara. Pemansuhan, pemindaan dan penggubalan kerangka perundangan baru bagi mengimbangi antara kepentingan keselamatan negara dan kebebasan individu akan memerlukan ‘Policing in a modern and open society’. Falsafah kepolisian yang dibentuk dalam era insurgency dan ketidaktentuan tidak lagi sesuai pada kontemporari ini. Kita mahu integriti dan wibawa pihak polis kekal terjunjung tinggi. Bagi merealisasikannya, kita memerlukan pasukan Polis yang moden dengan latihan yang sesuai dengan era baru, menuil teknologi moden, kelengkapan terkini dan cara penyiasatan dan pengumpulan bukti yang saintifik dan canggih. Untuk ini, peruntukan khas 200 juta ringgit akan disediakan. Manakala sejumlah 442 juta ringgit lagi akan diperuntukkan pada tahun 2012, untuk perbelanjaan pembangunan PDRM. Antara projek yang akan dilaksanakan merangkumi projek perumahan anggota polis, penambahbaikan ibu pejabat, balai dan pusat latihan.
Rakyat Malaysia turut insaf bahawa harga kita menikmati keamanan dan kemakmuran bukannya percuma. Ia dibayar oleh mereka yang menyarung seragam Angkatan Tentera Malaysia yang merupakan benteng pertahanan utama negara. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, sudah menjadi tugas kita untuk sentiasa memelihara kebajikan mereka. Kebajikan anggota tentera sentiasa menjadi perhatian Kerajaan bagi mempastikan anggota tentera fokus dalam menjalankan tugas. Tempat tinggal dan suasana kem yang selesa dapat menjadi pemangkin kepada prestasi kerja yang positif di kalangan anggota. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan 500 juta ringgit di bawah program Army Care untuk menaik taraf dan menyelenggarakan kem dan kuarters tentera di seluruh negara.
Terdapat seramai 175 ribu anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen. Akibatnya, mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan untuk menampung kos sara hidup. Bagi meringankan beban golongan ini, Kerajaan akan menyediakan program latihan khusus untuk mereka yang sudah bersara tanpa pencen bagi menceburi bidang perniagaan serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta kepada mereka yang layak. Untuk melaksanakan insentif ini, sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan.
Sejarah negara penuh dengan cerita-cerita wira yang tidak di dendang. Mereka yang apabila telah mendengar panggilan Pertiwi untuk berkhidmat, telah menyahutnya tanpa berlengah. Ini termasuklah lebih 48,000 bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat. Mereka terdiri daripada anggota Home Guard, Special Constable, Extra Police Constable, Auxilliary Police, Women Auxilliary Police, Women Special Constable, Border Scout dan Jungle Scout.
Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang mengenang budi. Kita tidak akan membiarkan wirawan dan wirawati tanpa pembelaan yang sewajarnya. Kita tidak sekali-kali seperti setengah pihak yang menafi dan memperlekehkan jasa bakti mereka. Sesungguhnya, keringat dan air mata mereka serta keluarga yang membasahi bumi bertuah ini akan terus malar dan segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia. Sebagai mengenang jasa bakti mereka, Kerajaan akan memberi sumbangan sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off kepada setiap bekas anggota serta duda dan balu mereka yang kesemuanya berjumlah hampir 62,000 orang. Sumbangan ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu meringankan kos sara hidup.
Untuk makluman maklumat terperinci menganai SBPA boleh didapati dari laman web jpa apabila pekeliling yang berkaitan dikeluarkan.