Rabu, 16 Mei 2012

Keris, Lembing dan Tombak… Disebalik Singkapan Sejarah

Beribu-ribu tahun dahulu...di Lembah Bujang,terdapat satu peradaban yang makmur.Kota-kota yang besar dan istana-istana yang mengagumkan.Di satu kawasan,terdapat kilang-kilang membuat peralatan logam;kilang melebur besi.Zaman berganti zaman.Tahun berganti tahun.Peperangan demi peperangan.Hasad dengki,khianat,kekejaman dan penipuan menghiasi tabir.Jatuh dan bangun.Bina kembali peradaban.Berperang lagi...hancur semuanya....bangkit kembali membina empayar...perang saudara...kedatangan bangsa Eropah yang tamak....dijajah...dijajah...dijarah...
Bangkit kembali...tentang penjajah...akhirnya merdeka.Kemudian bina negara...bina peradaban kembali.Perlahan-lahan.
Anak-anak Melayu pun membuka buku sejarah.Apa yang dilihat mereka?
Hulubalang Melayu memegang tombak.
Panglima Melayu menghunus keris.Selak lagi..apa dilihat lagi?
Gambar lukisan raja Melayu di atas gajah,dengan askar-askar Melayu menentang penjajah Portugis menggunakan tombak dan keris. Bertembokkan pancang-pancang kayu dan batang pisang.
Gambar askar Melayu mati ditembak istinggar musuh.
Gambar rumah beratap rumbia musnah dibedil meriam.Selak lagi....
gambar gabenor British bercekak pinggang dengan orang-orang Melayu berpakaian selekeh di satu sudut.
Selak lagi...selak lagi...gambar orang-orang Melayu pasca-penjajahan yang berimejkan selekeh,miskin dan nampak kurang berpendidikan...Membosankan.
Dalam artikel pengiring terakhir ini,Srikandi akan mendedahkan realiti sebenar peperangan yang disertai orang-orang di Semenanjung mahupun di pulau-pulau Nusantara (Indonesia).Srikandi akan mendedahkan betapa antara orang-orang Melayu pada masa dahulu pandai mencipta meriam dan menggunakan senjata api..Ini sekaligus menafikan anggapan popular ketika penjajahan dahulu "hendak buat sebatang jarum pun tak mampu"
Benarkah begitu?
Ketika saya masih kecil lagi,saya masih teringat satu filem lama tahun 80-an berlatar belakangkan zaman dahulu,mungkin sekitar abad ke 17.Kalau tak silap saya,Dato Rahim Razali ada berlakon dalam filem itu.Keistimewaan filem ini ialah,ia memaparkan orang-orang Melayu dahulukala berperang menggunakan meriam-meriam kecil,dalam istilah Melayunya 'Lela Rentaka'.
Meriam-meriam ini boleh dikendong menggunakan tenaga dua orang,di bawa ke sana sini.Terdapat satu adegan di mana tentera-tentera bergegas membawa meriam-meriam ini ke medan perang melintasi sawah-sawah padi.Ada adegan tentera yang tumpas terkena bedilan.Aksi letupan yang begitu 'real' dan suasana selepas perang di mana mayat-mayat bergelimpangan di sawah padi dihurung lalat dengan darah bersemburan di sana sini.Filem ini begitu istimewa di mata saya,berbanding filem-filem tipikal lain yang juga berlatarbelakangkan sejarah namun imej peperangan yang membosankan dan kurang tepat;asyik-asyik berperang menggunakan keris dan lembing.Penggunaan meriam yang meluas di dalam filem ini amat menarik dan sehingga kini saya masih teringatkan filem itu yang unik dan menimbulkan misteri kepada saya.
Semakin dewasa dan kelebihan menggunakan maklumat yang banyak di perpustakaan semasa melanjutkan pengajian ke luar negara membuatkan saya semakin tertanya-tanya;apakah peranan meriam di dalam budaya orang-orang Melayu dahulukala?Mengapa apabila saya membaca catatan-catatan para conquistador,pengembara Eropah,pedagang dan duta-duta asing,menyebutkan saiz kapal,penggunaan meriam dan kemewahan orang-orang Melayu sebelum era penjajahan?Mengapa apabila membaca buku-buku sejarah di sini,nadanya berlainan?Mengapa catatan pengembara Perancis berlainan sekali dengan catatan Stamford Raffles dan Leyden?Mengapa pandangan para cendekiawan Portugis seperti Eredia dan Pires berlainan dengan pandangan para gabenor dan imperialis Inggeris?
Apa yang ingin mereka sembunyikan dari kita??
Apabila orang Thai mengeluarkan filem-filem menceritakan sejarah Patani,mereka menggambarkan orang-orang Melayu Patani biasa menggunakan pistol dan senapang,apatah lagi meriam.Ini tidak kalah dengan filem-filem mereka yang menceritakan peperangan menentang tentera Burma.Mereka betul dari segi sejarah.
Mengapa saya kata begitu?Kerana apabila teknologi meriam semakin maju pada abad ke-14,seluruh dunia berlumba-lumba mendapatkan teknologi ini.Kerajaan-kerajaan Eropah,wilayah-wilayah bekas Empayar Abbasiah dan Turki uthmaniyyah,Emperium China dan kerajaan Ayutthia berusaha tidak ketinggalan dalam soal mengambil tahu atau memiliki meriam malah merekrut rakyat mereka mempelajari cara membuat meriam.
Jadi ADAKAH SULTAN-SULTAN MELAKA YANG MEMILIKI PELABUHAN PALING KAYA DI TIMUR MENJADI PEKAK,TULI,BUTA DAN BISU DENGAN PERKEMBANGAN INI?
Padahal raja-raja Melayu Brunei dan Sulu ketika itu sudah biasa bermain dengan pistol dan menjadi pengeluar meriam kecil terbaik dunia?Sebab itu Sepanyol gerun dan tidak mampu mencabut 'kemelayuan' mereka.
Adakah para pedagang yang tiba di pelabuhan Melaka semuanya berpakat untuk menyorokkan berita-berita tentang meriam,istinggar (musket) dan ubat bedil?Adalah amat tidak logik jika Sultan Melaka yang pernah menakluk sebahagian Sumatera dan tanah semenanjung malah mengalahkan tentera Siam menggunakan keris dan lembing sahaja.Tiada satu pun kerajaan yang boleh mengalahkan Melaka ketika itu KECUALI GABUNGAN TENTERA PORTUGIS,KERAJAAN-KERAJAAN KECIL DI SUMATERA DAN JAWA,ASKAR-ASKAR UPAHAN DARI GOA,JAWA DAN SIAM DITAMBAH DENGAN PEMBELOT DAN PENGKHIANAT DALAMAN DARI PARA PEDAGANG ASING DAN ORANG-ORANG MELAYU SENDIRI.
Hanya filem-filem dan drama pendekar di Malaysia sahaja menggambarkan pendekar Melayu berperang menggunakan keris dan lembing selepas bergaduh di warung berdinding buluh dan beratapkan rumbia.Sungguh memalukan.
Apabila orang luar membuat filem tentang Melayu,mereka menggambarkan pendekar Melayu menggunakan pistol,meriam dan senapang.Malah pendekar Melayu memakai baju kulit dan sesetengahnya memakai baju zirah;baju besi untuk mengelakkan serpihan peluru meriam melukai daging kulit.Dari mana mereka mengorek rahsia ini?Dari catatan-catatan sejarah mereka yang diluar kawalan Raffles,Winsted,Swettenham dan Leyden.
Malah semua senjata ini,yang diwar-warkan asing bagi bangsa Melayu,mempunyai istilah Melayunya sendiri:
*Cannon = Meriam,Lela
*Portable Cannon/swivel gun = Lela Rentaka
*Flintlock Musket = Istinggar
*Blunderbuss = Pemuras
*Pistol = Terakol
Mari kita lihat antara senjata-senjata 'terahsia' Melayu ini:
Pemuras
Pemuras adalah antara senjata yang gemar digunakan oleh orang-orang Melayu dahulukala.Dalam Perang Naning,catatan askar Inggeris menyatakan orang-orang Melayu amat pandai menggunakan Pemuras ini sehingga Inggeris terpaksa menghantar beberapa kali pasukan tenteranya menentang Dol Said dan Perang Naning juga berlaku dalam beberapa siri.Orang-orang Melayu Borneo khususnya orang Brunei dan Sulu adalah mereka yang selalu menggunakan Pemuras.Pemuras atau dalam bahasa Inggeris,blunderbuss adalah sejenis alat bedil muat hadapan dengan laras berkaliber pendek,besar,yang mempunyai muncung peledak hadapan yang berbentuk kembang (funnel-shaped muzzle ).Pemuras ini menggunakan peluru timah hitam (lead)
Ia digunakan untuk menembak dalam jarak dekat dan selalu digunakan oleh pasukan berkuda (Dragoons).Perkataan Dragoon ini berasal dari penggunaan Pemuras yang telah dimajukan bentuknya,menjadi lebih kecil,seperti pistol.
Orang-orang Melayu memanggilnya sebagai Terakol atau Tarkul.Dragoon atau Terakol inilah asal-usul pistol pada hari ini.Pemuras juga adalah senapang atau bedil yang pertama sekali dicipta untuk tujuan pertahanan. Dalam masyarakat Melayu, senjata Pemuras dan Tarkul adalah agak popular berbanding di dunia barat.Penggunaan Pemuras adalah lebih kerap digambarkan di dalam peristiwa perang Melayu berbanding istinggar atau Flintlock Musket.Mengapa?
Ini kerana pada masa dahulu orang Melayu adalah pelaut dan pengembara yang gigih.Penggunaan blunderbuss ini adalah amat popular dikalangan pelaut,lanun dan pedagang.Ini kerana ia sesuai untu pertempuran secara pantas dan berdepan kerana ia mampu mencederakan beberapa orang musuh dengan hanya satu tembakan dari jarak dekat.
Pemuras biasanya amat pendek, dengan laras kurang dari 60 cm (dua kaki), pada ketika laras senapang lantak biasanya melebihi 90 cm (tiga kaki) panjang.Satu sumber menggambarkan senjata dari awal hingga pertengahan abad ke-17, menyenaraikan panjang laras Terakul kancing roda (wheel lock) sekitar 28 cm (sebelas inci), berbanding 41 cm (enam belas inci) panjang bagi Pemuras.
*Betapa segaknya panglima Melayu menyandang Pemuras berkilat seperti ini.
Dalam budaya masyarakat Melayu,Kesultanan Brunei adalah diantara salah sebuah Kerajaan Melayu yang menggunakan Pemuras sebagai salah sebuah alat kebesaran kerajaan atau regalia.Ia menjadi lambang kebesaran Brunei dengan panggilannya yang tersohor 'Pemuras dan Karga'.Karga ialah bekas menyimpan peluru pemuras yang dibuat cantik dan berseni.
Pemuras sering dihiasi dengan ukiran yang amat halus dan cantik. Ada juga Pemuras yang dibuat daripada logam berharga seperti Emas dan Perak serta ditatahkan dengan intan permata. Di dunia barat penggunaan Pemuras adalah lebih kerap digunakan oleh pasukan berkuda kerana ia mudah digunakan terutama ketika mengisi peluru.
Jika Soviet meletakkan lambang Avtomat Kalashnikova (AK-47) di duit syililing mereka,Mozambique meletakkannya di bendera mereka,bayangkan,kerajaan Melayu seperti Brunei ini meletakkan blunderbuss atau Pemuras ini sebagai lambang kerajaan.
__________________
Terakol atau Tarkul adalah antara senjata popular dikalangan pelaut,pedagang dan lanun-lanun Melayu.Tarkul pada awalnya menggunakan teknologi 'wheel lock' (kancing roda) di mana kemajuan teknologi ini membolehkan ia membakar serbuk bedil secara automatik tanpa memerlukan 'fius'.Terakol berbentuk seperti pistol dan ia adalah perubahan bentuk dari Pemuras yang dikecilkan.Terakol digunakan di dalam peperangan Rajah,Datu dan Sultan-sultan di Filipina melawan Sepanyol,juga askar Brunei menentang Rajah Brooke.
Terakol juga digunakan di Patani dan Melaka.Dalam Perang Naning juga senjata ini digunakan.Sekitar tahun 1530,Terakol telah menjadi maju dengan penggunaan teknologi flintlock (kancing batu api) dan sejak itu ia lebih dikenali sebagai pistol di Barat.
*Dalam filem Pirates of Caribbean,Jack Sparrow menggunakan Terakol jenis kancing batu api (flintlock)
Ketua Lanun,Laksamana dan Syahbandar Melayu sering bergaya menyelitkan Terakol ini di pinggang bersama-sama keris mereka.
Istinggar
Istinggar (Bahasa Inggeris:musket) pada awalnya ialah sejenis senjata api jenis berat dengan penggunaan fius atau wheel lock.Kemudian ia menjadi sejenis senapang yang menggunakan teknologi flintlock (kancing batu api).Penggunaan flintlock ini meningkatkan kadar tembakan dan mengurangkan kos pembuatan senjata api.Mula diperkenalkan pada 1630 sebagai flintlock musket,istinggar dengan pantas menggantikan teknologi picu senjata api lebih awal,seperti mekanisme kancing sumbu (matchlock) dan kancing roda (wheel lock).
Istinggar juga kerap disebut di dalam hikayat-hikayat lama seperti Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan juga Hikayat Megat Terawis. Dalam Hikayat Megat Terawis, dikatakan bahawa Megat telah berjaya membunuh seorang hulubalang yang kebal dan hebat bernama Tun Saban.Tun Saban dikatakan sebagai seorang yang tidak lut kepada segala jenis senjata kecuali istinggar yang dibuat khas pelurunya.Istinggar yang digunakan untuk membunuh Tun Saban dikatakan adalah hadiah daripada ulama dari Hadra-maut kepada raja Pagar Ruyung.
Istinggar inilah yang dikumpulkan terlalu banyak di dalam kota Melaka oleh tentera-tentera Portugis.Istinggar juga digunakan oleh tentera Johor-Riau terutama ketika membantu Belanda menyerang Portugis.Istinggar juga digunakan oleh penduduk di Perak ketika menyerang Belanda yang membina loji-loji di Sungai Perak.
Lela Rentaka
Rentaka,adalah sejenis meriam mudah alih,ringan dan kecil dari meriam biasa.Dalam Bahasa Inggeris,ia disebut Lantakas (gabungan Lela dan Rentaka).Rentaka adalah senjata khas orang Melayu,kerana mereka sendiri yang menciptanya,sebab itu orang Inggeris menyebutnya dengan Lantakas.Ini adalah sesuatu yang menarik kerana Rentaka adalah setanding dengan keris dan ia adalah senjata Melayu yang terkenal di dunia Barat.Rentaka inilah yang saya lihat di dalam filem tahun 80-an itu.
Kebiasaannya rentaka dibuat menggunakan tembaga atau besi dan berukuran diantara 50cm hinggalah 2 meter. Bagi yang berukuran lebih daripada 1 meter kebiasaannya ia di panggil Lela dan ada yang dipanggil sebagai ekor Lotong kerana mempunyai pelaras yang panjang dan lentik seperti ekor Lotong. Bangsa penjajah pertama yang merasa penangan rentaka ialah Sepanyol. Mereka menggelarnya sebagai arquebuses, portable cannons or swivel gun yakni meriam mudah alih. Berbanding dengan meriam biasa, rentaka kebiasaanya mempunyai hiasan yang lebih terperinci dan cantik seperti ukiran awan larat,naga,buaya,cicak,ikan lelumba malahan turut diukirkan corak pucuk rebung.
Apa yang unik mengenai senjata ini ialah ianya adalah sebuah meriam mudah alih yang pertama didunia. Rentaka mempunyai mekanisme yang membolehkan ianya dipusing-pusingkan keatas dan kebawah serta boleh dipikul dan dipacakkan di kota, tanah atau belebas kapal dan perahu. Hal ini amat berbeza dengan meriam barat yang sedia di ketahui adalah amat berat dan tidak mudah dialihkan. Ciri mudah alih Rentaka juga menyebabkan bidikannya lebih mudah untuk kena pada sasaran.
Pahlawan Moro adalah diantara pahlawan rumpun Melayu yang dikatakan sebagai pembuat rentaka yang terbaik . Orang Moro telah menggunakan rentaka sebagai senjata api utama ketika diserang oleh Sepanyol dan ketika mereka menyerang kapal-kapal Sepanyol. Tentera Sepanyol dikatakan amat takut dengan senjata tersebut kerana diantara banyak-banyak senjata, rentaka adalah salah satu senjata yang menyebabkan kematian dan kerugian terbesar bagi pihak mereka.
Selain daripada orang Moro, Kerajaan Brunei juga dikenali umum di kalangan para pedagang dan penjajah sebagai pengeluar rentaka terbanyak dan terbaik di Alam Melayu. kebanyakan daripada rentaka yang ada di Muzium di seluruh dunia sekarang ini adalah berasal dari Brunei kalau tidak Filipina. Di Semenanjung, Jawa dan Sumatera, penggunaan rentaka adalah kurang terutama setelah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.
Kehebatan senjata api buatan bangsa Melayu ini menjadi buah mulut dan kekaguman para penjajah barat seperti Portugis, Sepanyol dan Belanda sehinggakan mereka telah meniru teknologi pembuatan rentaka bagi melengkapkan persenjataan mereka. Sehingga abad ke 18 dikatakan penghasilan rentaka di Alam Melayu semakin berkurangan malahan negara yang mengeluarkan rentaka terbaik dan terbanyak adalah negara Belanda.
Meriam mempunyai sejarah yang panjang,terahsia dan digelapkan dalam sejarah Melayu.Meriam digunakan di tembok-tembok kota Melaka.Meriam digunakan di semasa peperangan melawan penjajah di Selangor.Meriam digunakan di Pasir Salak.Meriam digunakan di Singgora melawan Thai dan Inggeris dan Belanda.Meriam adalah cukup sinonim dengan seni peperangan Melayu.Jika Brunei dan Sulu terkenal mengeluarkan Rentaka (meriam mudah alih) terbaik,maka Patani pula adalah pengeluar meriam paling terbaik di Asia Tenggara suatu ketika dahulu.
Sebelum kemunculan meriam,pada awalnya teknologi artileri atau bedilan ini diperkenalkan oleh orang-orang Cina.Kemudian meriam diperkenalkan oleh Empayar Turki Uthmaniyyah,yang juga merupakan pembuat meriam yang menggerunkan seluruh Eropah ketika itu.Kemudian pedagang Belanda pula memperkenalkannya.
Meriam yang paling terkenal dalam masyarakat Melayu ialah Seri Nagara,Seri Patani dan Mahalela.Dan meriam Seri Nagara dan Seri Patani ini adalah meriam yang terbesar di Asia Tenggara!Menariknya bukan orang lain yang membuat dan memilikinya,tetapi orang Melayu juga!
Meriam-meriam ini adalah milik Kerajaan Patani.Sebagai tindak balas berikutan khabar angin akan serangan Siam ke atas Patani, Raja Kerajaan Melayu Pattani pada waktu itu iaitu Raja Biru (1616-1624) telah menugaskan seorang lelaki Cina-Islam yang bernama Tok Kayan (Lim To Khiam) untuk mengetuai pembinaan meriam-meriam kerajaan. Tiga buah meriam telah dibina iaitu Sri Patani, Sri Nagara dan Mahalela. Sri Patani dan Sri Nagara mempunyai saiz yang sama manakala Mahalela pula lebih kecil iaitu hanya sepanjang 5 hasta 1 jengkal. Meriam-meriam ini telah berjaya menyekat empat kali serangan Siam ke atas Patani iaitu pada tahun 1603, 1632, 1634 dan 1638.
Selepas kejatuhan Ayutthaya pada 1767, kerajaan Patani di bawah pemerintahan Sultan Muhammad (1776-1786) telah cuba untuk membebaskan diri daripada ancaman Thai (yang telah mengalahkan kerajaan Ayutthaya). Bagaimanapun, pada 1785 pasukan tentera Thai di bawah kepimpinanan Panglima Phraya Kalahum telah berjaya menewaskan Patani. Dua buah meriam besar iaitu Sri Patani dan Sri Nagara telah diambil sebagai rampasan perang, bagaimanapun Sri Nagara telah jatuh ke dalam laut di Kuala Patani semasa hendak dipindahkan ke dalam kapal. Meriam Mahalela pula telah hilang tanpa dapat dikesan.
Pada 1787, Raja Rama I telah mengarahkan pembinaan meriam yang sama saiz dengan Sri Patani yang dinamakan sebagai Narai Sanghan untuk diletakkan bergandingan dengan Seri Patani yang telah di tawan. Jika anda melihat kepada gambar meriam seri Patani di atas, bolehkah anda bayangkan kekuatan meriam tersebut ketika ia membedil kapal-kapal perang Thai. Menurut Hikayat Patani tiga buah meriam kerajaan Pattani ini telah berjaya mengaramkan banyak kapal Thai ketika Kerajaan Thai menyerang Pattani.Anda boleh membayangkan suasana meriam-meriam ini digunakan dan peperangan tersebut dengan menonton filem Queen of Langkasuka.
Meriam-meriam Melayu boleh dilihat juga di Kota Melawati dan Pasir Salak pada hari ini.
Setelah mengetahui fakta sejarah yang digelapkan dari pengetahuan kita ini,adakah kita masih berfikir nenek moyang kita berperang menggunakan sumpit,lembing dan keris?JIka nenek moyang kita berperang dengan senjata-senjata itu sahaja,alamat kita sekarang bukanlah duduk di Malaysia,tetapi di sebuah negeri Inggeris lain,seperti Australia.SEbab orang-orang Melayu mempunyai senjata-senjata beginilah mereka mampu mempertahankan takhta raja-raja mereka dan sedikit sebanyak mengawal tindak tanduk penjajah yang ganas dan tamak.
Bayangkan betapa gigih nenek moyang kita dahulu memikul rentaka,membawa Pemuras di samping parang dan keris,menentang ketamakan dan kebuasan penjajah.Jika nenek moyang kita dahulu lembik tidak berjuang mempertahankan tanah air,mungkin hari ini kita akan menjadi seperti Red Indian atau aborigine Australia.Inggeris walaupun buas dan kejam,namun masih menjaga 'standard' mereka cuba menghormati perjuangan orang-orang Melayu mempertahankan warisan.Mereka cuba mengawal alter amuk para musketeers (ahli senjata api) dan gunners (ahli meriam) Melayu dengan cuba meletakkan para residen mereka terlebih dahulu di setiap negeri Melayu.
Apa salahnya Inggeris membawa balatenteranya meranapkan takhta-takhta raja-raja Melayu ini terus atau menghalau mereka sepertimana mereka menumbangkan raja-raja Tamil,Hindi dan Maharaja Moghul di India.Sultan Abdullah memang dibuang ke Pulau Seychelles,namun yang peliknya Inggeris berusaha mengadakan raja baru di Perak dengan membiarkan institusi beraja Perak menabalkan pengganti Sultan Abdullah.Pelikkan?Apa salahnya Inggeris melantik sahaja Hugh Low menjadi 'Rajah Perak' sebagaimana James Brooke menjadi Rajah Sarawak.Biar warisan raja-raja Perak hancur sebagaimana mereka berjaya menghancurkan dinasti raja China dan India.
Tetapi ini tidak berlaku.Bukan sahaja orang Melayu,malah 'Mat Salleh' pun berdegil 'mempertahankan' takhta raja-raja Melayu.Lucu dan aneh.Sebenarnya jika kita bersemangat mempertahankan warisan budaya kita sendiri,orang lain pun akan segan dan hormat pada kita.Seperti juga hari ini,jika kita acuh tak acuh dengan warisan kita sendiri,sebagai contoh Tulisan Jawi,Cina Komunis pun tidak segan silu mahu membuang tulisan Jawi dari papan-papan tanda jalan.Jika kita sendiri tidak berusaha mengambil berat diri kita sendiri,siapa lagi hendak diharapkan menjaga segala warisan dan identiti bahkan pegangan agama kita sendiri??Orang asing??
SEbagai kesimpulannya,dengan pendedahan ini yakinlah kita bahawa orang Melayu adalah bukanlah bangsa yang lemah dan hanya mengenal keris dan tombak sahaja malah pandai menggunakan meriam dan membuatnya juga!Orang Melayu juga biasa menggunakan musket (Istinggar) dan pistol (Terakol).
Sehingga ke hari ini saya masih terngiang-ngiang jeritan hulubalang Melayu meledakkan Rentakanya di dalam filem 80-an itu.Adegan dua orang hulubalang mengandar batang Rentaka yang diikat pada sebatang kayu sambil meniti batas-batas sawah meninggalkan misteri yang aneh kepada saya.Kenapa drama dan filem lain tidak seperti filem yang satu ini?Siapa pengarah filem ini?Sungguh,saya betul-betul tabik pada pembuat filem itu,malangnya saya terlupa tajuk filem itu.
Jadi fikirkan,adakah Inggeris dan Belanda takutkan orang-orang Nusantara yang menentang mereka menggunakan sumpit,lembing dan keris (kesampingkan ilmu mistik,kita bercakap soal realiti)?Tidak sama sekali.Para musketeers dan gunners Melayu inilah antara 'penggerun' mereka dan membuatkan Inggeris berfikir 10 kali untuk menghapuskan raja-raja Melayu,mengkristiankan seluruh orang Melayu dengan paksaan dan menjadikan Tanah Melayu seperti Amerika dan Australia.
Alangkah bagusnya kalau dalam buku-buku sejarah terdapat gambar ini.Betapa megahnya hulubalang Melayu menyangkutkan blunderbassnya (Pemuras) di bahu.
Dalam legenda Melayu,berkaitan ilmu mistik dalam kategori ilmu kebal,antara pantang orang yang mengamalkan ilmu kebal ialah peluru emas.Dan ini adalah benar,dan askar Belanda menggunakan peluru emas untuk menundukkan pahlawan-pahlawan Melayu di Sumatera dan Jawa.Malah Mat Kilau juga dikatakan dikhianati orangnya sendiri berkenaan rahsia ini.Jadi fikirkan,dalam amalan mistik Melayu itu sendiri menyebutkan perihal peluru emas,masakan orang Melayu ketika itu masih terkebil-kebil memegang lembing berhadapan dengan askar Portugis yang bersenjatakan matchlock musket,blunderbuss dan cannon?

Selasa, 15 Mei 2012

Selamat Hari Guru


Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
Lagu: En. Rosman bin Adam
Lirik: En. Zainal Ariffin bin Yusof
(IPGM Kampus Ilmu Khas)
Kita berbicara tentang inovasi
Ciptaan baharu gaya hidup kini
Meningkatkan Produktiviti Terkini

Bangun, beranikan terima seruan
Mendidik, memimpin penuh berwawasan
Menciptakan kreativiti
Melahirkan Guru Inovatif

c/o
Sahutlah cabaran, perubahan
Daulatkan Bidang Pendidikan,
Guru Inovatif Melonjakkan
Transformasi Pendidikan Negara
Malaysia Ku tercinta

Kita berbicara tentang inovasi
Ciptaan baharu gaya hidup kini
Meningkatkan Produktiviti Terkini

Tiada pernah jemu tiada putus asa
Sedia menimba ilmu di mana saja
Binakanlah keyakinan
Merentasi segala halangan

ulang c/o x2




Ahad, 13 Mei 2012

Renungan Semua

Kisah yang akan diceritakan selepas ini mungkin hanya cerita dongengan bagi sesetengah insan, namun bagi sesetengah insan lain yang ingin mencari Islam sebenar, kisah yang akan diceritakan selepas ini Insya’Allah akan memberi sedikit inspirasi kepada mereka untuk membentuk diri dan juga keluarga kita agar melaksanakan satu perintah besar daripada Al-Khaliq berkenaan penjagaan aurat khususnya untuk muslimah sekalian dengan sempurna.
Kisah ini diceritakan daripada seorang sahabat.
Saya ingin bercerita mengenai kisah adik saya, Aliya(bukan nama sebenar), seorang gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan seperti lelaki. Ketika usianya mencecah 17 tahun perkembangan tingkah lakunya benar-benar membimbangkan ibu. Dia sering membawa teman-teman lelakinya pulang ke rumah. Situasi ini menyebabkan ibu tidak senang tambahan pula ibu merupakan guru al-Quran.
Bagi mengelakkan pergaulan yang terlalu bebas, ibu telah meminta adik memakai tudung. Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali berlaku pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka. Pernah pada suatu masa, adik berkata dengan suara yang agak keras,”Cuba mama tengok, jiran-jiran kita pun ada yang anaknya pakai tudung, tapi perangainya sama je macam orang yang tak pakai tudung. Sampai kawan-kawan Aliya kat sekolah, yang pakai tudung pun selalu keluar dating dengan boyfriend diorang, pegang-pegang tangan. Liya ni, walaupun tak pakai tudung, tak pernah buat macam tu!”
Ibu hanya mampu mengeluh mendengar kata-kata adik. Kadang kala saya terlihat ibu menangis di akhir malam. Dalam Qiamullailnya.Terdengar lirik doanya ” Ya Allah, kenalkan Aliya dengan hukum-Mu”.
Pada satu hari, ada jiran yang baru pindah berhampiran rumah kami.Sebuah keluarga yang mempunyai enam orang anak yang masih kecil. Suaminya bernama Abu khoiri, (nama sebenarnya siapa, tak dapat dipastikan). Saya mengenalinya sewaktu di masjid. Setelah beberapa lama mereka tinggal berhampiran rumah kami, timbul desas-desus mengenai isteri Abu Khoiri yang tidak pernah keluar rumah, hingga ada yang menggelarnya si buta, bisu dan tuli. Perkara ini telah sampai ke pengetahuan adik. Dia bertanya kepada saya, “Abang, betul ke orang yang baru pindah itu, isterinya buta,bisu dan tuli?”. Lalu saya menjawab sambil lewa, “Kalau nak tau sangat, pergi rumah mereka, tanya sendiri”.
Rupa-rupanya adik mengambil serius kata-kata saya dan benar-benar pergi ke rumah Abu Khoiri. Sekembalinya dari rumah mereka, saya melihat perubahan yang benar-benar mendadak berlaku pada wajah adik. Wajahnya yang tak pernah muram atau lesu menjadi pucat lesi. Entah apa yang dah berlaku? Namun, selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung. Tudung yang labuh. Adik pakai baju labuh. Lengan panjang pula tu. Saya sendiri jadi bingung. Bingung bercampur syukur kepada Allah SWT kerana saya melihat perubahan yang ajaib.
Ya, saya katakan ajaib kerana dia berubah seratus peratus! Tiada lagi anak-anak muda atau teman-teman wanitanya yang datang ke rumah hanya untuk bercakap perkara-perkara yang tidak tentu arah. Saya lihat, dia banyak merenung, banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli majalah hiburan), dan saya lihat ibadahnya pun melebihi saya sendiri. Tak ketinggalan tahajudnya, bacaan Qur’annya, solat sunatnya dan yang lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan saya datang, dia menundukkan pandangan. Segala puji bagi Engkau wahai Allah, jerit hati saya.
Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan untuk bekerja di kalimantan, kerja di satu perusahaan minyak CALTEX. Dua bulan setelah saya bekerja di sana, saya mendapat khabar bahawa adik sakit tenat hingga ibu memanggil saya pulang ke kampung. Dalam perjalanan, saya tak henti-henti berdoa kepada Allah SWT agar adik di beri kesembuhan, hanya itu yang mampu saya usahakan. Ketika saya sampai di rumah, di depan pintu sudah ramai orang. Hati berdebar-debar, tak dapat ditahan. Saya berlari masuk ke dalam rumah. Saya lihat ibu menangis. Saya segera menghampiri ibu lantas memeluknya. Dalam esak tangisnya ibu memberitahu, “Dhi, adik boleh mengucapkan kalimat Syahadah di akhir hidupnya”. Air mata ini tak dapat ditahan lagi!!
Setelah selesai upacara pengkebumian dan lain-lainnya, saya masuk ke bilik adik. Saya lihat di atas mejanya terletak sebuah diari.Diari yang selalu adik tulis. Diari tempat adik menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya. Kemudian diari itu saya buka sehelai demi sehelai. Hingga sampai pada satu halaman yang menguak misteri dan pertanyaan yang selalu timbul di hati ini – Perubahan yang terjadi ketika adik baru pulang dari rumah Abu khoiri. Di situ tertera soaljawab antara adik dan isteri jiran kami itu.
Butirannya seperti ini: Soaljawab (saya lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata)
Aliya: (Aku hairan,wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari) Mak cik, wajah mak cik sangat muda dan cantik!
Isteri jiranku : Alhamdulillah. Sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati.
Aliya : Tapi, mak cik kan dah ada anak enam. Tapi masih kelihatan cantik.
Isteri jiranku : Subhanallah! Sesungguhnya keindahan itu milik Allah SWT. Dan bila Allah SWT berkehendak. Siapakah yang boleh menolaknya?
Aliya : Mak Cik, selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung, tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tak ada masalah kalau saya tak pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik. Saya tengok, banyak wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai. Sampaikan saya tak pernah rasa nak pakai tudung. Pendapat mak cik bagaimana?
Isteri jiranku : Aliya, sesungguhnya Allah SWT menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki, segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT nanti. Tudung adalah salah satu perlindungan untuk wanita!
Aliya : Tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tak elok.
Isteri jiranku : Tudung hanyalah kain , tapi hakikat atau makna disebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami.
Aliya : Apakah hakikat tudung?
Isteri jiranku : Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari memandang lelaki yang bukan mahram kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia. Sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun masyarakat , lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu. Itulah hakikat tudung.
Aliya : Mak cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung. Mudah mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya nak buat semua tu?
Isteri jiranku : Duhai Aliya, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah SWT yang Maha Pemberi Rahmat , bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan ‘tudung’ hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah SWT. Duhai Aliya, ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup sangkakala yang kedua.
Pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak, dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya , ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan,ada yang berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis.
Menangis kerana hari itu Allah SWT murka! Belum pernah Allah SWT murka sebelum dan sesudah hari itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah SWT dipadang mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil hari Hisab. Duhai Aliya, bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar , Yang Maha Kuat , Yang Maha Agung, Allah SWT.
Sampai di sini sahaja kisah itu saya baca kerana di sini tulisannya terhenti dan saya lihat banyak titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya. Subhanallah! Saya selak halaman berikutnya dan saya lihat tertera tulisan kecil dibawah tulisan itu
“buta ,tuli dan bisu.. wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain mahramnya , wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka Allah SWT , wanita tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia sia”
Tak tahan airmata ini pun jatuh. Semoga Allah SWT menerima adikku disisinya. Amin.
Subhanallah! Saya harap cerita ini boleh menjadi iktibar bagi kita semua. Wassalam.



























Jumaat, 11 Mei 2012

Jom Jadi Jutawan Sektor Awam - JUSA

Percaya atau tidak, dalam perkhidmatan awam di Malaysia nie, semua orang bercita-cita dan mempunyai impian untuk menjalani kehidupan yang mewah dan bergaya. Ramai di antara mereka ini memilih cara yang senang dan ada juga yang memilih cara yang lebih berkat termasuklah politik pejabat, MLM, Skim Cepat Kaya, Pelaburan Emas, dan macam-macam lagi asalkan boleh menghasilkan pendapatan tambahan semua akan dicuba.. Tidak percaya.. Tak mengapa kerana kepercayaan anda mungkin tidak akan goyah sekiranya anda memiliki pendirian yang tegas dan teguh dalam sesuatu hal dan polisi peribadi sendiri.
Okay lah berbalik kepada perkara asal… Setiap yang menyertai perkhidmatan awam dalam kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P Gred 41 dan keatas) mengidamkan gelaran jusa di awal usia 50. Kenapa ini berlaku? Ini disebabkan kerana banyak manfaat dan faedah yang diperolehi sekiranya terpilih untuk mendapatkan gelaran JUSA.. antaranya Disediakan kenderaan rasmi secara percuma, tambah nilai ‘T n G’, elaun keraian dam macam macam lagi faedah yang diperolehi. Apa yang menjadi persoalan adakah hidup yang diimpikan ini berkat sekiranya penyalahgunaan kuasa berleluasa dikalangan mereka ini. Cuba kita tengok sahaja berita ini di dada akhbar yang membabitkan isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dalam meluluskan sesuatu projek dan sebagainya.
Kenapa mereka yang berada dalam kumpulan ini (JUSA dan keatas ini terus menyambung kontrak mereka untuk berkhidmat dengan kerajaan walaupun usia mereka mencecah 60 tahun. Inilah tanda-tandanya ketidak berkatan dalam hidup mereka kerana semua wang dan pendapatan mereka tidak membuahkan hasil, setiap bulan duit habis tidak kiralah berapa banyak pendapatan bulanan mereka.
Keberkatan dalam hidup adalah penting bagi membolehkan setiap sen yang diperolehi itu membuahkan hasil…
Kita selalu mendengar pepatah melayu..  “ Semakin besar periuk semakin banyak keraknya..” samalah hal ini kepada semua. Semakin banyak yang diperolehi semakin tinggilah keinginan untuk memenuhi dan memiliki sesuatu yang lebih mewah, ekslusif dan elegen. So setiap yang diperolehi dibazirkan untuk sesuatu yang bukannya keperluan tetapi lebih kepada kehendak mengikut nafsu mereka.
Tidak kurang juga ada diantara mereka menggunakan kuasa dan rank hierarki yang ada untuk mengarahkan sesuatu atas kepentingan diri sendiri dan membelakangkan fungsi mereka sebagai penjawat awam demi kepentingan awam… ini adalah melanggar aku janji yang ditandatangani oleh mereka.
Sebelum terlambat, sedarlah bahawa pangkat, dajat dan harta yang diperolehi tidak diberkati tidak akan membuahkan hasil… Usah ditindas golongan yang berada dibawah.. bantulah mereka,, sumbanglah kepada kemajuan negara, bangsa dan agama. Itu adalah tanggungjawab kita.. dan saya bertanggungjawab untuk menyedarkan mereka melalui tulisan dan komen komen yang agak pedas.. tetapi hanya sebagai peringatan dan tarbiah kepada diri saya sendiri, dan semua yang membaca.
Kita sebagai makhluk yakni HambaNya adalah makhluk yang baru, yang lemah dan penuh dengan kelemahan dan tiada satupun sifat dan kekuatan melainkan sedikit sahaja daripada anugerah dari Dzat Yang Maha Esa…

Khamis, 10 Mei 2012

Harga Tayar Kereta…

Tayar merupakan satu komponen penting kenderaan anda, tidak kira apa jenis kenderaan yang anda gunakan. Sama ada kenderaan yang anda gunakan adalah untuk tujuan komersial seperti lori, treller, bas, van, teksi; industri seperti jentera pengaut (backhoe loader), lif garfu (fork lift) dan sebagainya; tidak kurang juga untuk kegunaan domestik iaitu untuk kegunaan sendiri seperti kereta persendirian, suv, mpv dan bermacam lagi.
Berikutan peningkatan harga bahan mentah untuk membuat tayar iaitu Getah (latex) daripada pokok getah serta peningkatan kos buruh dan juga undang-undang keselamatan serta kualiti tayar yang diperbuat maka secara langsung meningkatkan lagi harga tayar yang dijual di pasaran pada hari ini.
Sudah tentu kebanyakan daripada anda memiliki kenderaan yang menggunakan tayar, maka begitu penting bagi anda untuk mendapatkan maklumat tayar yang penting kepada anda bagi mengelakkan anda ditipu bulat-bulat oleh penjual tayar (kedai tayar) jika ditafsirkan oleh bahasa kasarnya anda adalah bodoh kerana ditipu. Tetapi sebenarnya anda bukannya bodoh kerana rata-rata dikalangan anda adalah profesional yang mampu menjana pendapatan ribuan RM setiap bulan, jika tidak manalah mampu bagi anda untuk memiliki kenderaan atau kereta yang membuatkan anda perlu tahu sesuatu tentang tayar. Ada boleh dapatkan maklumat mengenai tayar di keluaran lalu http://whoamieitismei.blogspot.com/2012/01/rahsia-tayar-anda.html.
Tahukah anda setiap tayar yang dikilangkan memiliki had tempoh penggunaannya iaitu secara purata 2 tahun dari tarikh pengeluarannya… Sekiranya tayar yang anda gunakan tu melebihi 2 tahun, kecekapan dan risiko kegagalan tayar anda untuk berfungsi dengan baik adalah tinggi dan kemungkinan besar boleh mengakibatkan kecederaan kepada diri anda, keluarga anda dan juga mereka yang terlibat secara langsung ataupun kesan sampingan daripada situasi yang dialami.
Anda perlu bijak dalam memilih tayar dan kedai yang dipilih untuk mengelakkan anda ditipu.. Jadi untuk itu anda perlu bijak memilih kedai tayar iaitu kedai tayar yang kawasannya dikelilingi oleh deretan kedai tayar… kerana persaingan akan membuatkan mereka cuba memenangi pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan dan harga yang lebih baik.. Disamping itu juga anda perlu tahu harga lingkungan tayar yang hendak dibeli… Anda boleh menelefon terlebih dahulu kedai tayar berkenaan untuk mendapatkan harga yang berpatutan dan membuat perbandingan harga.. Jangan sekali-kali gamble kekedai tayar tanpa membuat tinjauan terlebih dahulu.
Anda juga dinasihatkan untuk melihat setiap perkara yang dilakukan oleh pekerja kedai tayar supaya anda tidak ditipu oleh mereka yang menunjukkan beberapa kerosakan lain yang dilakukan oleh mereka semata-mata untuk menjual alatganti yang lain yang ditawarkan oleh mereka sebagai contoh bearing, absorber, brakepad dan sebagainya kerana kita tidak menyelia mereka. Untuk itu perlu bijak kerana anda adalah bijak.

Selasa, 8 Mei 2012

Suami

Salman Al Farisi r.a telah meriwayatkan pada suatu hari Fatimah r.ha dalam keadaan tergesa-gesa telah datang bertemu ayahandanya.
Baginda s.a.w melihat kedua mata Fatimah r.ha berlinangan airmata dan raut wajahnya sedih. Lalu baginda bertanya: Mengapa wahai anakku?
Fatimah r.ha menjawab: Ya Rasulullah, semalam aku bergurau dengan Ali, tanpa aku sengaja terkeluarlah perkataan yang menyinggung perasaannya. Setelah itu, aku dapati mukanya kemerahan kerana menahan marah. Aku sungguh menyesal atas keterlanjuran kataku itu lalu segera memohon maaf kepadanya: 'Hai kekasihku, kesayanganku, relakanlah akan kesalahanku', seraya aku mengelilinginya dan merayunya sebanyak 72 kali sehingga dia redha dan tertawa padaku. Walaupun suamiku telah redha tetapi aku masih tetap merasa takut kepada Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w bersabda kepada Fatimah r.a: Wahai anakku, demi Zat yang telah mengutusku sebagai Nabi dgn agama yang haq, sesungguhnya sekiranya engkau mati sebelum Ali meredhaimu, aku tidak akan solat jenazahmu.
Nota: Kisah yang diselitkan dalam kuliyah tafsir surah Al-Mulk semalam oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani di Masjid Al-Munawwarah, Shah Alam.
-----------
Nasihat seorang ayah kepada anak:
1. Wahai anakku, tidakkah engkau ketahui bahawa redha suami adalah redha Allah dan kemarahan suami adalah kemarahan Allah.
2. Wahai anakku, seorang wanita yang beribadah betul2 seperti ibadah Mariam puteri Imran tetapi suaminya tidak redha kepadanya, Allah s.w.t tidak akan menerima ibadahnya.
3. Wahai anakku, amal yang paling utama bagi para wanita selepas taat kepada Allah dan Rasul ialah taat kepada suami dan sesudah itu tidak ada lagi amal yang paling utama dari duduk bermesra-mesraan dengan suaminya.

Lambaian Baitullah..

Ambil masa 5 minit.. tarik nafas dan lepas.. tenangkan diri..
Bayangkan sekarang anda berada di atas pesawat MH256 yang akan berlepas ke Jeddah.. Pesawat pun menerjah ke ufuk langit meninggalkan bumi Malaysia.. Anda sudah siap berpakaian ihram dan anda tak sabar untuk tiba di lapangan terbang Jeddah.. Beberapa lama kemudian terdengar suara menyuruh anda berniat umrah dan ihram kerana anda sudah tiba di kawasan miqat Yalamlam. Anda pun berniat..Pesawat tiba di lapangan terbang Jeddah, di bumi Arab yang sudah hampir dengan Kota Mekah.. Anda turun dari pesawat, gementar dan teruja, bercampur baur perasaan anda.. Anda menjejakkan kaki anda di tanah Jeddah lalu menitis air mata dari hati yang rindukan tanah suci selama ni.. Anda bertakbir lalu sujud syukur di situ.. Anda teruskan perjalanan dan dibawa ke hotel tempat penginapan.. Setelah selesai urusan, anda mengikut ketua rombongan dan mutawwif menuju ke suatu tempat yang asing bagi anda, tapi selalu anda lihatnya di kaca TV dan internet sambil laungan talbiah diseru di segenap penjuru..

langkah demi langkah berlalu.. besarnya bangunan masjidil haram ini.. anda memasuki salah satu pintu gerbangnya.. dari jauh anda terlihat suatu objek yang sangat anda kenali.. Kaabah di depan mata anda, anda makin hampir dengannya.. Berderai air mata bila melihatnya.. lalu anda berdoa pada Allah atas nikmat yang Dia berikan kerana membenarkan anda menjejaki dan melihat rumah suciNya.. anda mula bertawaf di sekeliling bangunan hitam itu.. indahnya perasaan ketika itu.. anda teringat kembali kisah2 Nabi sewaktu di situ.. doa demi doa dibaca.. anda terlihat batu syurga dari jauh.. anda melambaikan tangan anda ke arahnya, teringin mengucupnya.. selesai tawaf, anda solat sunat 2 rakaat di belakang makam Ibrahim.. kusyuk sungguh solat anda.. manakan tidak, Kaabah di depan mata anda.. anda berdoa bersungguh2..
langkah anda diteruskan ke bukit safa, di situ anda akan melakukan ibadah sa'ie.. teringat pula kisah Siti Hajar yang berulang alik antara bukit safa dan marwah untuk mencari air buat anaknya Nabi Ismail yang dahaga.. kelihatan dekat saja jaraknya, namun siapa tahu kepahitan yang dialami Siti Hajar ketika panas terik di bumi mekah yang kontang ketika itu.. menitis sekali lagi air mata anda apabila anda pula yang menyelami 7 perjalanan yang 'dekat' itu.. anda selesai sudah bersa'ie, anda kemudian bertahallul dan selesailah sudah umrah anda.. di sudut hotel anda melihat masjidil haram.. anda teringin sekali turun untuk masuk ke dalam masjid Allah untuk mengabdikan diri di sana.. anda mencari suatu ketenangan dan kekusyukan dalam solat.. anda kemudian tawaf buat kali terakhir dan melambai pada Kaabah.. anda akan menuju pula ke madinah, tanah suci kedua umat Islam..
hati meronta tidak ingin meninggalkan baitullah, namun hati teringin sangat bertemu dengan manusia paling agung atas muka bumi, yakni kekasih Allah.. anda turun dari bas dan menjejakkan kaki atas tanah madinah, tanah di mana jasad Nabi Muhammad s.a.w dimakamkan di dalamnya.. mulianya tanah madinah.. sujud syukur anda pada Allah kerana menyampaikan hajat untuk berada di sana.. dari jauh kelihatan masjid nabawi.. anda masuk ke masjid, lalu menunaikan solat tahiyatul masjid.. anda cuba masuk ke raudhah, satu dari taman-taman syurga yg ada di dunia, letaknya antara rumah baginda Nabi s.a.w dan mimbarnya.. anda habiskan masa dengan baik di raudhah, tidak sedikit masa itupun anda lalai kerana beribadah di dalamnya sangat memberikan kesan yang baik dalam hati.. anda keluar dari raudhah, ada satu tempat yang dah lama anda idamkan untuk pergi ke situ.. anda berjalan dan terlihat pintu emas yang di mana di dalamnya ada maqam Rasulullah yang anda cintai.. menitis air mata tatkala itu sebagai seorang kekasih yang hanya mampu melihat maqam kekasihnya yang mulia.. dalam hati ingin sekali mengikuti baginda dan bersama baginda di barzakh madinah.. kerinduan demi kerinduan dilepaskan.. hanya Allah yang tahu bagaimana luluh hati anda mengenangkan kekasih Allah itu..
saatnya sudah tiba, anda sudah tak lama di sana kerana akan pulang ke tanah air.. hati memberontak sekali lagi tidak mahu pulang.. tidak mahu berpisah dengan Nabi Allah.. rasanya ingin sekali dipanggil maut disana dan dimakamkan di Baqi' bersama para syuhada', wali Allah, ulama' dan mereka yang soleh.. namun apa daya, anda perlu juga pulang.. anda melambaikan tangan ke arah masjid nabawi, kerinduan anda tinggalkan di sana.. hati anda tetap mencintainya.. anda bertekad untuk kembali lagi agar tidaklah Nabi lupa wajah anda pada hari syafaat diberikan.. titisan demi titisan air mata jatuh dan mengering.. anda tiba di bumi malaysia.. anda berazam menjadi seorang yang lebih baik dan soleh/solehah.. anda ingin sekali mendidik anak2 serta kaum keluarga agar menjadi mukmin sejati.. anda ingin berbakti pada agama.. anda berazam akan bawa keluarga anda pula sujud di tanah haram yang para malaikat sentiasa menjaganya serta anda ingin membawa keluarga bertemu dengan Rasulullah s.a.w yang selalu anda ceritakan pada mereka..