Rabu, 7 September 2011

Kunci Syurga…

Untuk memasuki syurga, kita perlu melalui pintu-pintunya. Dikhabarkan bahawa syurga itu ada lapan pintunya seperti sabda Rasullullah SAW:

“Sesiapa yang mengambil wudhuk dengan baik kemudian dia berkata,

Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syarikalah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘Abduhu wa rosuuluh, (maksudnya:Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah satu(Tuhan) saja tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya,) akan dibuka untuknya kesemua lapan pintu-pintu syurga agar dia memasukinya dari mana dia suka.

Diketahui umum, setiap pintu mestilah mempunyai kunci tidak kiralah apa jenis dan pentuk kunci. Ada yang berbentuk elektronik seperti touch pad, scan pad dan bermacam lagi; Ada yang berbentuk kunci kawalan pusat seperti kunci pintu kereta dan bagunan berprofil tinggi. Ada juga jenis kunci tradisional jenis tombol dan mangga. Ada juga kunci melodi seperti kisah dalam Ali Baba bujang lapok dengan empat puluh pencuri.

Begitulah dengan pintu syurga, memiliki kuncinya tersendiri. Tahukah anda semua apakah pintu syurga? Bagaimanakah bentuknya? Dari apakah ia dibuat?…

Allah berfirman yang bermaksud :

"Wahai hambaku, aku telah menyaksikan batu-batu yang engkau kumpulkan di padang Arafah. Aku tidak akan menyia-nyiakan hakmu. Bagaimana aku akan menyia-nyiakan hakmu sedangkan aku telah menyaksikan bunyi 'syahadat' yang engkau ucapkan itu. Sekarang masuklah engkau ke dalam syurga."

Sebaik saja dia menghampiri pintu syurga itu, tiba-tiba pintu syurga itupun terbuka lebar. Rupanya kunci syurga itu adalah kalimat syahadat yang diucapkannya dahulu.

Ada juga versi begini:

Abu Yazid Al Bustami seorang ahli Sufi yang dikejutkan oleh mimpinya supaya pergi ke gereja Samaan. Tiga kali mimpinya itu berulang. Lalu ia bersiap sedia dengan pakaian dan cara yang diberitahu dalam mimpinya. Ia masuk ke gereja Samaan tanpa disedari oleh Paderi-paderi yang hadir. Dia sama-sama menanti kedatangan ketua Paderi. Setelah ketua Paderi datang, ketua Paderi itu tidak dapat berucap.

Dia tahu ada orang lain, orang Islam di dalam gereja itu. Katanya, " ada orang yang percaya kepada Syariat Muhammad di dalam gereja ini." Semua paderi menjadi gempar dan mereka mahu orang itu di bunuh. Namun ketua paderi menghalang, sebaliknya ketua paderi meminta orang itu bangun dengan memberikan jaminan bahawa mereka tidak mengapa-apakannya sekiranya dapat menjawab 50 yang akan ditujukan kepadanya oleh Ketua Paderi tersebut.Abu Yazid Al-Bustami pun bangun, tanpa rasa takut.

Ketua paderi berkata, "wahai pengikut Muhammad, saya akan mengajukan pertanyaan kepada kamu. Jika kamu dapat menjawab semuanya dengan benar, maka saya akan mengikut agama kamu. Namun jika kamu tidak dapat menjawabnya, maka kami akan membunuh kamu."

Jawab Abu Yazid, "baiklah! Tanyalah apa saja yang kamu ingin tanyakan."

Ketua paderi itu mengemukakan 50 soalan berterusan dan Abu Yazid menjawabnya dengan tepat.

Pertanyaan Ketua Paderi. Dan Jawapan Abu Yazid Al-Bustami

1. Yang satu tidak ada duanya. Kewujudan Allah Maha Esa. Dia Tuhan yang tunggal tiada sekutu baginya.

2. Yang dua tiada tiganya. Malam dan siang. Apabila pergi malam datanglah siang dan apabila pergi siang datanglah malam.

3. Yang tiga tiada empatnya. Kursi, Kalam dan Arash Allah Hu Subhanahu Wataala.

4. Yang empat tiada limanya. Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.

5. Yang lima tiada enamnya. Islam telah memfardukan solat lima waktu: Zohor, Asar, Maghrib, Ishak dan Subuh.

6. Yang enam tiada tujuhnya. Hari-hari Allah telah menciptakan langit dan bumi. Ini semua tersebut di dalam Kitab-kitab suci juga.

7. Yang tujuh tiada lapannya. Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang disebut di dalam Kitab Suci juga.

8. Yang lapan tiada sembilannya. Bilangan Malaikat yang memikul Arash Allah Taala yang disebutkan di dalam Kitab Suci (ertinya): dan akan memikul Arash Tuhan kamu pada hari (Kiamat) itu adalah lapan Malaikat.

9. Yang sembilan tiada sepuluh. Bilangan kaum daripada golongan manusia yang menjadi kerosakan bumi Allah, sebagaimana yang tersebut di dalam Kitab Suci (ertinya): di dalam kota itu dahulu terdapat sembilan kumpulan yang menjadi perosak bumi, mereka tidak pernah melakukan yang baik.

10. Sepuluh yang sempurna. Kewajipan puasa sepuluh hari ke atas orang yang berihram haji sebagaimana firman Allah Taala (ertinya): Maka hendaklah ia (orang yang berihram haji) berpuasa tiga hari semasa haji dan tujuh hari setelah balik ke negerinya. Itulah dia sepuluh yang sempurna.

11. Yang sebelas. Saudara-saudara Nabi Yusof Alaihissalam.

12. Yang dua belas. Bilangan bulan dalam setahun.

13. Yang tiga belas. Mimpi Nabi Yusof Alaihissalam yang tersebut di dalam Kitab Suci: Sesungguhnya Aku melihat sebelas bintang, matahari dan bulan. Jumlahnya tiga belas.

14. Orang yang berdusta,kemudian dapat masuk Syurga. Mereka ialah saudara-saudara Nabi Yusof Alaihissalam. Mereka memberitahu ayah mereka Nabi Yaakob Alaihissalam bahawa Yusof telah di makan serigala. Mereka membawa pakaiannya yang dilumur dengan darah kambing. Perkara yang mereka lakukan itu adalah suatu dusta.

15. Orang yang benar, tetapi mereka dimasukkan ke dalam neraka. Mereka ialah kaum Yahudi dan Nasrani, sesuai dengan firman Allah Ta'ala ( ertinya ) : telah berkata Kaum Yahudi, kaum Nasrani itu tidak benar dan berkata kaum Nasrani pula kaum Yahudi itu tidak benar. Kedua-dua kaum itu berkata benar pada tuduhan mereka antara satu dengan lain, namun mereka tidak mahu tunduk kepada kebenaran yang ada di hadapan mereka iaitu mempercayai agama yang di bawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasalam sebagai agama yang sebelumnya. Lantaran itu mereka menduduki neraka.

16. Tempat roh dalam badan manusia. Roh berada di dalam tubuh badan manusia yang hanya diketahui hakikatnya oleh Allah Taala kerana roh adalah merupakan urusan Allah Taala jua, berdasarkan firmannya (ertinya): katakan roh itu dari perkara urusan Tuhanku.

17. Al Zariyati Zarwa. Nama empat macam angin.

18. Al Hamilati Wakra. Awan gemawan di dada langit.

19. Al Jariyati Yusra. Perahu-perahu yang belayar di laut.

20. Al Mukassimati Amra. Malaikat-malaikat yang bertugas membahagi-bahagikan rezeki kepada manusia pada malam Nisfu Syaaban.

21. Yang empat belas. Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya): Maka Allah berfirman kepadanya iaitu kepada tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi, datanglah kepada aku secara patuh terhadap perintahku ataupun secara terpaksa. Maka berkata kedua-dua langit dan bumi, "kami akan datang kepadamu secara patuh dan taat."

22. Kubur yang berjalan dengan penghuninya. Ikan besar yang menelan Nabi Yunus Alaihissalam. Nabi Yunus Alaihissalam di bawa oleh ikan ke mana-mana sahaja yang akhirnya dimuntahkan di pantai dengan izin Allah Taala.

23. Yang bernafas, tetapi tidak mempunyai roh. Waktu subuh seperti firman Allah Taala (ertinya): demi subuh apabila ia terlepas.

24. Air yang tidak turun dari langit dan tidak keluar dari bumi. Air yang dikirim oleh ratu Balqis kepada Nabi Sulaiman Alaihissalam di dalam botol iaitu air peluh kuda.

25. Empat yang bukan daripada golongan manusia, Malaikat dan bukan daripada punggung lelaki dan daripada perempuan. Kibas yang di bawa Jibril Alaihissalam sebagai korban ganti Nabi Ismail Alaihissalam, unta Nabi Salleh Alaihissalam yang disembelih kaumnya, untuk Nabi Adam dan Siti Hawa Alaihissalam.

26. Satu ciptaan Allah, lalu diingkarinya sebagai satu yang buruk. Suara keldai yang tidak sedap didengar, sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya): sesungguhnya suara yang paling buruk ialah suara keldai

27. Darah yang mula-mula mengalir ke bumi. Darah Habil yang dibunuh oleh saudaranya Kabil.

28. Sesuatu ciptaan Allah, lalu diangkat sesuatu yang berat. Helah kaum wanita, seperti Firman Allah Taala (ertinya): sesungguhnya tipu helah wanita adalah suatu tipu helah besar atau berat.

29. Pada mulanya sebatang kayu kemudian menjadi roh. Tongkat Nabi Musa Alaihissalam

30. Wanita yang paling utama. Hawa, ibu sekalian manusia, kemudian Khatijah dan Aisyah, Asiah (isteri Firaun) dan Maryam Binti Imran.

31. Gunung yang paling utama. Gunung Tursina

32. Binatang yang paling utama. Kuda.

33. Bulan yang paling utama. Bulan Ramadhan.

34. Malam yang paling utama. Lailatul Qadar.

35. Tentang Atta'mah. Hari Kiamat.

36. Pohon yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting ada 30 daun, setiap daun ada lima kembang, dua bunga di matahari dan tiga bunga di tepi kegelapan. Pohon itu "tahun" yang padanya ada 12 bulan, satu bulan ada 30 hari. Lima itu ialah lima waktu solat.

37. Satu benda yang pergi haji dan tawaf di Baitullah, tetapi tidak mempunyai roh dan tidak wajib haji. Bahtera Nabi Noh Alaihissalam.

38. Empat jenis air yang lain rupanya dan rasanya, tetapi sumbernya satu. Air mata, air telinga, air hidung dan air mulut. Air mata masin, air telinga pahit, air hidung masin dan air mulut tawar.

39. Nakir, fatil dan kitmir. Nakir ialah titik yang terdapat pada kulit luar benih, fatil ialah titik yang terdapat di dalam benih dan kitmir ialah kulit yang membaluti benih.

40. Sabid dan Labad. Bulu kambing biri-biri dan kambing kasi.

41. Sam dan Ram. Makhluk yang telah ada sebelum wujud Nabi Adam Alaihissalam.

42. Maksud keldai Makwak. Keldai Makwak tanda ia melihat syaitan, lalu ia berkata: Allah melaknatnya.

43. Maksud anjing menyalak. Anjing menyalak bermaksud: Awas! Celaka bagi penghuni-penghuni neraka dari kemurkaan Allah yang maha berkuasa.

44. Maksud jeritan kuda. Kuda menjerit bermaksud: Maha suci Allah yang memeliharaku ketika tentera berpadu menyerang musuh dengan penuh semangat.

45. Maksud jeritan unta. Unta menjerit membawa maksud: Hasbiyallahu Wakafa Billahi Wakila (ertinya): Memadailah Allah bagiku dan cukuplah Dia tempat aku menyerahkan diriku.

46. Maksud nyanyian burung Bulbul. Nyanyian Bulbul bermaksud: Maha suci Allah pada waktu pagi dan pada waktu petang.

47. Maksud bunyi katak. Bunyi katak bermaksud: Maha suci Tuhan yang di sembah di mana-mana sahaja ada makhluknya dan di tempat-tempat yang tiada penghuninya.

48. Maksud kata-kata burung Nakus. Maksud kata-katanya: Maha suci Allah sungguh-sungguh! Wahai anak Adam! Lihatlah di barat dan di timur di dunia itu, adakah makhluk yang menongkat langit?

49. Kaum daripada makhluk Allah yang diutus kepadanya, namun ia bukan dari kumpulan jin, manusia dan Malaikat. Makhluk itu adalah lebih seperti Firman Allah Taala (ertinya): dan Tuhan kamu telah mewahyukan kepada lebih.

50. Di mana malam ketika siang dan di mana siang ketika malam. Kedua-duanya berada di dalam ilmu Allah Taala yang amat sulit.

Kata Abu Yazid, "Saya sudah jawab semua pertanyaan tuan. Sekarang ada lagikah soalan-soalan lain?" Semua pendeta menjawab, "tidak ada lagi," Kemudian Abu Yazid mengemukakan pertanyaan kepada mereka. "beritahu saya kunci Syurga dan Neraka langit." Tidak seorang pun yang dapat menjawabnya dan mereka mengaku bahawa memang mereka tidak tahu jawapannya. Baru satu soalan sudah tidak dapat dijawab sedangkan Abu Yazid telah menjawab berpuluh soalan. Mereka meminta ketua paderi menjawab, namun ia membisu. Katanya, "bukan saya tidak mahu menjawab, tetapi saya takut kamu semua tidak bersetuju dan membunuhku kerana jawabanku" Mereka hairan mendengar kata-kata ketua paderi itu. Akhirnya mereka mendesak juga dan bersedia untuk bersetuju dan menerima kata-kata ketua mereka. "Bahawa kunci Syurga dan kunci langit itu tidak lain ialah "LAILA HAILLALLAH HU MUHAMMAD DARASULULLAH." Tegas ketua paderi. Mereka semua tersentak, terdiam. Lalu Abu Yazid berkata, "memang benar kata ketua kamu ini." Semua paderi memeluk Islam Abu Yazid menuntut janji kepada ketua paderi dan persetujuan pengikut-pengikutnya. "Sahabat-sahabat sekalian percayalah bahawa apa yang saya beritahu itu adalah benar. Saya tidak didesak oleh mana-mana tekanan. Memang sudah lama saya fikirkan hendak menyampaikan perkara ini kepada sahabat-sahabat semua, tetapi saya bimbang sahabat-sahabat tidak akan percaya kepada saya lagi. Saya hanya menunggu waktu." "Dari mana tuan mengetahui perkara ini?" Tanya salah seorang paderi. "Dari ketua sebelum saya." Jelas ketua paderi. "Sebelum ketua itu meninggal dunia dia telah bersumpah bahawa perkara yang dikatakan itu adalah benar." Sambung ketua paderi itu. "Kalau begitu, apa lagi yang kita tunggu!" Ketua paderi dan pengikut-pengikutnya semuanya memeluk Islam disebabkan oleh Abu Yazid. Ilmu Abu Yazid telah menyelamatkan daripada maut. Ilmu ketua paderi telah menyelamatkan daripada kesesatan dan ilmu kedua-duanya telah menutup tabir kejahilan dan menyingkap tabir kebenaran dan Islam!

Mencari Syurga…

Sebelum diceritakan dimanakah syurga itu berada, ingin aku menerangkan apa itu syurga. Syurga adalah janji Allah kepada Ummat Manusia, diatas sebagai balasan terhadap setiap amalan kebajikan dan kewajiban yang tertanggung keatasnya. Syurga adalah balasan diatas setiap pahala yang dikumpul oleh ummat manusia sepanjang hidupnya tanpa melanggar perintah Allah ke atas dirinya. Bagaimanakah untuk menjadi penghuni syurga, dan dimanakah syurga?

Untuk menjadi penghuni syurga ummat manusia wajib melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangannya. Begitu senangkan untuk menjadi penghuni syurga. Buat kebajikan dan tinggalkan kejahatan. Tapi untuk mencari syurga adalah suatu perkara yang berbeza. Dimana Syurga…? Bolehkah sesiapa menjawab pertanyaan ini?

Tidak kira berapa banyak ibadah yang dilakukan oleh kita selama hayat di dunia ini, kita tetap tidak akan memasuki dan mendiami Syurga Allah sekiranya kita tidak menemui syurga. Syurga itu bukan hanya ada selepas hari pembalasan, Namun syurga itu ada walaupun pada hari ini. Syurga boleh ditemui di dua tempat iaitu:

Seluruh ummat islam kecuali perempuan bertaraf Isteri. – Syurga boleh dijumpai dibawah TAPAK KAKI IBU, manakala bagi perempuan atau wanita islam yang bertaraf isteri syurganya adalah dibawah tapak kaki suami. Sungguh senang dan mudahkan. Cuma dibawah tapak kaki. Namun untuk itu banyak usaha yang perlu dilakukan untuk menemuinya. Bukan sekadar melihat dibawah tapak kaki. Pengertiannya yang perlu difahami oleh kita semua.

Dibawah Tapak Kaki membawa pengertian taat kepada… Ibu/ Suami. Oleh itu, untuk menjadi penghuni syurga bukanlah amalan-amalan sunat yang perlu diperbanyakkan, tetapi KEREDHAAN Ibu/ Suami yang perlu. Tiada gunanya sekiranya anda menunaikan solah sunat sepertiga malam tetapi tidak mentaati Ibu/ Suami. Amalan sunat hanya boleh dilakukan sekiranya dibenarkan dan diizinkan oleh Ibu/ Suami selagi mana Ibu/ Suami tidak membelakangkan ajaran Islam/ Perintah Allah yang dibawa oleh Rasul Junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W…

Rabu, 24 Ogos 2011

Aidilfitri vs Aidiladha.

Aidilfitri dan Aidiladha, dua hari yang amat bermakna dalam kehidupan Ummat Islam. Ianya adalah hari untuk merayakan kemenangan. Aidilfitri – meraikan berakhirnya Ramadhan, bulan yang diwajibkan Ummat Islam berpuasa… Adakah kewajiban berpuasa telah anda tunaikan. Sekiranya anda belum menunaikan kewajiban itu anda tidak layak untuk meraikan Aidilfitri, kerana Aidilfitri akan meriah sekiranya diraikan oleh mereka yang berpuasa sepanjang bulan Ramadhan kecuali bagi mereka yang ada keuzuran (perempuan: beberapa sebab yang tidak membolehkan mereka berpuasa; Lelaki: Tiada keuzuran kecuali penyakit yang boleh memudaratkan diri dan mereka yang berkerja keras untuk menyara hidup; tetapi wajib diQada’ dan juga tidak diwajibkan bagi mereka untuk berpuasa sekiranya mereka tidak waras/ kurang siuman dan kanak2 yang belum akhil baligh)
Aidiladha pula diraikan sempena menghormati mereka yang megerjakan haji, meraikan kejayaan mereka menunaikan rukun Islam yang terakhir yang ke…. (5). Pada hari raya Aidiladha kita disunnatkan untuk melakukan ibadah korban. Ianya adalah sunnat muakad iaitu sunat yang amat digalakkan dilaksanakan.
Menjelang tiba Aidilfitri bermacam jenis kuih muih dan biskut raya ditempah untuk memenuhi meja…

Selasa, 23 Ogos 2011

Lailatul Qadar.

Lailatul Qadar merupakan satu malam yang dipilih oleh Allah sebagai bulan yang lebih baik dari seribu bulan. Mengapakah Allah meengadakan satu malam yang istimewa ini. Allah menjadikan malam Lailatul Qadar kerana kekaguman para sahabat terhadap cerita Rasulullah yang menceritakan bahawa ummat terdahulu yang panjang umurnya, mereka beribadat kepada Allah. Oleh kerana usia Ummat Nabi Muhammad saw adalah dalam lingkungan 60 – 70 tahun. Maka para sahabat merasakan mereka rugi kerana terlepas peluang untuk beribadah kepada Allah swt. Oleh kerana perasaan duka hati ini, maka Allah menurunkan serah Al-Qadr:-

 

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,

إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ

Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬

Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذۡنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ۬

Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar

سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ

Untuk meredakan perasaan gundah dalam hati para sahabat. Dengan turunnya ayat ini Allah telah menceritakan tentang satu malam, malam yang istimewa yang melebihi seribu bulan. Beruntunglah kepada mereka yang menemui malam itu. Kerana inilah ummat Islam mengejar untuk beribadat. Tetapi alangkah ruginya sekiranya mereka itu hanya mencari Lailatul Qadar dan perbanyakkan ibadah hanya pada bulan Ramadhan. Setelah Ramadhan berakhir masjid2 dan surau2 kembali sepi dan yang tinggal hanya Imam dan 2-3 orang makmum sahaja.

Alangkah ruginya, kerana ianya tidak bertepatan dengan konsep agama Islam yang suci iaitu consistent (berterusan) dalam mengerjakan sesuatu perkara bukan hanya pada musim-musim tertentu. Memanglah ada dinyatakan bahawa setiap sesuatu itu ada musimnya dan Ramadhan adalah musim untuk beribadah ini adalah kerana Solat Sunat Tarawikh yang hanya boleh dilakukan pada malam-malam sepanjang bulan Ramadhan tidak pada bulan-bulan yang lain seperti ibadah-ibadah sunat yang lain yang boleh dilakukan sepanjang tahun.

Diharapkan agar ibadah kepada Allah diteruskan walaupun Ramadhan telah meninggalkan kita, tidak kira dimana dan bila. Kerjakanlah ibadah secara berterusan bukan hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Keredhaan Allah ada pada sepanjang tahun bukan hanya pada bulan Ramadhan kerana Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang…

 

Isnin, 22 Ogos 2011

Zakat

Bukannya aku nak menulis apa itu zakat, kenapa zakat dan mengapa zakat. Apa yang ingin kutulis bukannya berapa banyak nisab diwajibkan zakat, jenis-jenis zakat. Aku tak kisak nak terangkan itu semua asalkan ada pertanyaan daripada semua. Namun aku lebih selesa jika semua yang membaca mendapatkan maklumat berkenaan daripada sumber-sumber lain.

Apa yang ingin aku persoalkan adalah mengenai kutipan zakat, berapa banyakkah jumlah kutipan zakat setiap tahun oleh Pusat Zakat, Lembaga Zakat dan sebagainya lagi biar aku permudahkan baitulmal. Kalau ikutkan konsep Islam Baitulmal adalah Perbendaharaan iaitu Kementerian Kewangan la bagi  Malaysia. Tapi dekat Malaysia nie baitulmal hanya menguruskan hal pungutan berkaitan dengan Zakat jer..

Mungkin semua pembaca juga ada mempersoalkan berapa banyak jumlah pungutan zakat setiap tahun di Malaysia ini dan buat tak tau je. Agak-agaknya berapa digitkah angka jumlah pungutan Zakat tu setiap tahun. 6 digit, 9 digit ataupun lebih. Tak kisahla berapa banyak digitpun jumlah kutipan zakat tu. Kalau nak tau juga layarilah laman-laman Pusat Zakat dan kiralah sendiri.

Pernahkah pembaca tahu apakah kegunaan duit pungutan zakat tu, kalau mengikut ajaran Islam pungutan zakat tu digunakan untuk membantu golongan asnaf iaitu mereka yang boleh menerima duit zakat. Tapi kenapa jumlah pungutan zakat yang bedigit-digit itu dipungut di seluruh negara namaun masih lagi kita melihat ramai lagi rakyat negara kita yang merempat dibawah jambatan, tepi sungai, bangunan kosong, kaki lima bangunan. Dan juga masih ramai lagi yang mengutip sedekah mengharapkan bantuan simpati daripada rakyat yang ada lebih sikit daripada mereka. Mana perginya duit zakat yang dikutip tadi.

Fikir-fikirlah dan renungkannya, semoga kita semua dirahmati olehNya.

Isnin, 15 Ogos 2011

TEMPE dan DO’A

Bacalah....moga menjadi iktibar.

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Disitu ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib,bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin"

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin".

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang. 

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.
"Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya"Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu,

"Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?"  Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan...

Moral:

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.
Kedua: Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.
Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan
Keempat : Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU, menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan

Ahad, 14 Ogos 2011

Hello World…

Hello, this is my first post. There is nothing to says, to express.
Salam perkenalan, saya adalah pendatang baru dalam Blogging World, tidak pernah terlintas dihati ini untuk menyaingi para blogger terdahulu yang telah terkenal dan berjaya mencipta nama yang gah dalam dunia blogging ini.
Kebanyakan daripada post atau entry yang akan saya kemukakan di sini adalah berkaitan dengan kejadian yang berlaku dipersekitaran kita dan yang berkaitan dengan kehidupan kerana hanya yang hidup mampu berinteraksi dengan yang hidup. Mampu memberikan reaksi dan paling tidakpun menyampah dengan apa yang dilakukan oleh individu lain dalam dunia ini samada melalui tindakan, perbuatan, pertuturan, tulisan atau paling tidak dengan hati.
Post-post adalah dari sumber-sumber blog yang saya ikuti, akhbar-akhbar tempatan, blog-blog berita, politik, personal (tidak personal sekiranya ditulis dalam blog) merupakan perkongsian ilmu, nasihat dan pelbagai jenis artikel yang pada fikiran boleh dikongsikan dengan semua dan ada sesetengah post adalah nukilan saya sendiri dari pemandangan, penglihatan, penghayatan dan pengalaman hidup sebagai seorang anak rantau di perantauan berjauhan dengan kedua Ayah dan Bonda yang disayangi dan sentiasa berada dalam ingatan ini. Jarak tidak memisahkan cuma menjauhkan sahaja.
Kepada pemilik-pemilik blog yang mana artikel mereka saya copy dan paste kan di sini, maafkan saya kiranya perbuatan itu mendatangkan kemarahan anda semua, namun bagi saya semuanya adalah milik yang Maha Esa, kerana Dialah yang memiliki segalanya dan kita adalah perantaraan kepada ilmuNya kepada seluruh alam ini. Maafkan saya sekali lagi kerana bertindak demikian…