Isnin, 3 Jun 2013

Gelisah petisyen PRU13

PASCA PRU

MASUK minggu kedua tempoh memfail petisyen atau bantahan yang diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula 23 Mei lalu, sudah wujud bunga-bunga kegelisahan dalam hati pelbagai pihak, baik dari pimpinan BN mahupun PR.

Kebimbangan krisis politik Perak pada 2008 lalu akan berulang tetap ada berikutan keputusan kedua-dua pihak yang berhasrat menfailkan petisyen di beberapa kerusi yang dikatakan berupaya untuk dicabar keputusannnya.

Bagi PR Perak, mereka sudah pun mengesahkan akan memfailkan petisyen di sembilan kerusi, termasuk satu kerusi Parlimen. Lapan kerusi Dun terlibat adalah kawasan Lubuk Merbau, Manjoi, Manong, Pasir Panjang, Selama, Rungkup, Chenderiang dan Tualang Sekah manakala kerusi Parlimen yang dituntut ialah Kuala Kangsar.

Pengumuman yang dibuat Pengerusi PR negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin itu menjelaskan, tuntutan berkenaan melibatkan tujuh kerusi ditandingi Pas sementara dua lagi oleh PKR.

Keputusan itu katanya, diputuskan setelah kepimpinan tertinggi PR Perak bersidang tiga kali dengan mengambil kira kriteria utama lokasi yang kalah tipis.

Meskipun tiada sebarang pengumuman lanjut dibuat Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, namun kenyataannya yang menyebut BN Perak sedang mengkaji dan meneliti beberapa kawasan di Dun negeri ini untuk memfailkan petisyen, boleh dianggap satu kenyataan serius.

Sepertimana yang digariskan PR, Zambry turut menyatakan faktor utama penyenaraian lokasi bagi membantah keputusan PRU13 yang diadakan, 5 Mei lalu itu adalah kawasan di mana BN mengalami kekalahan tipis kepada pembangkang.

Bagaimanapun di sebalik kemeriahan petisyen ini, individu yang paling merasakan debaran berkenaan pastinya calon-calon yang bertanding..menang atau kalah semua bergantung kepada keputusan petisyen yang dijamin Ketua Hakim Negara akan selesai dalam tempoh setahun.

Bagi Adun Lubuk Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak, pihaknya sedikit pun tidak berdepan masalah meskipun kerusi berkenaan sering disebut-sebut bakal beralih arah kepada PR berikutan jumlah majoriti yang paling sedikit, 53 undi.

Menurutnya, dalam hal ini, kemenangan BN sudah cukup membuktikan rakyat menerima kehadirannya sebagai wakil rakyat meskipun pada PRU13 ini terpaksa beralih kerusi daripada Dun Chenderoh ke Lubuk Merbau.

“Sebaik diumumkan calon yang menang, saya sudah berazam  untuk menjalankan tugas sebaik mungkin, penduduk juga menerima kehadiran saya di sini,” katanya.

Beliau berkata, soal majoriti sedikit tidak seharusnya dijadikan pokok persoalan kerana sebelum ini, BN juga pernah tewas dengan majoriti 72 undi di kerusi sama.

“Pada PRU 2008, kawasan ini juga mencatatkan majoriti yang sedikit, tidak pula BN buat petisyen dan sebagainya, sebaiknya kita teruskan kerja seperti biasa,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan Adun Pasir Panjang, Rashidi Ibrahim yang menganggap kejayaannya merampas kerusi berkenaan adalah melalui ketelusan yang dilaksanakan SPR.

Di sebalik keghairahan PR untuk mengambil kerusi itu, Rashidi yang juga merupakan calon baru BN sedikit pun tidak merasa gentar atau takut dengan kedudukan itu.

“Jika tidak berlaku ketelusan kenapa mereka boleh menerima kemenangan pihak mereka dan ini seolah-olah berlaku ‘double standard’. PRU13 yang lalu juga sudah banyak diubah suai ke arah yang lebih baik, tetapi ianya masih dipertikai, saya kira rakyat sudah muak dengan semua ini,” katanya.

Sementara itu, Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, dia tidak mengerti apakah alasan yang digunakan PR untuk membuat petisyen terhadap kawasannya sedangkan majoriti undi diperolehi lebih 2,000.

Baginya selepas menerima mandat daripada rakyat, kerja perlu terus dilakukan dan menganggap ianya seperti biasa malah akan melaksanakan yang terbaik untuk rakyat di Tualang Sekah.

“Ia langsung tidak mengganggu saya. Tiada tekanan yang dihadapi, apa yang penting rakyat tahu siapa yang mereka pilih dalam PRU Mei lalu,” katanya.

Bagi Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya pula, PR berhak membuat petisyen berkenaan selagi masih dalam tempoh yang ditetapkan dan ia hanyalah prosedur biasa selepas PRU. Shahrul berkata, dalam sistem demokrasi, sewajarnya menghormati hak masing-masing.

“Biarlah pihak yang terbabit melaksanakan tugas untuk memastikan keadilan kepada semua, kita juga berpegang kepada konsep telus dan saksama. Kita yakin dan percaya telah mengikut prosedur yang betul sepanjang PRU lalu,” katanya.

Beliau berkata, walaupun petisyen dibuat ia tidak langsung mengganggu tugasnya untuk turun padang bertemu rakyat.

Katanya, selepas dipilih rakyat maka tanggungjawab itu harus dipikul sebaik mungkin untuk meneruskan kecemerlangan BN di kawasannya.

Penyandang kerusi Lubuk Merbau sebelum ini, Mohd Zainudin Mohd Yusof berkata, dalam menghadapi BN pada PRU lalu, mereka mempunyai pasukan yang hebat sehingga berjaya memperolehi undi sebanyak 6,207.

Katanya, peningkatan ini menunjukkan rakyat masih menyokong Pas sehingga mereka kalah tipis kepada calon BN.

“Dalam hal petisyen ini, kita sedang semak banyak peraturan termasuk undang-undang hakiki dan undang-undang prosedur. Jika undang-undang prosedur  tidak diikuti sudah tentu mencacatkan undang-undang hakiki. Sekarang kita akan ketengahkan perkara-perkara yang kurang diberi perhatian,” katanya.

Calon Pas di Dun Selama, Mohd Akmal Kamaruddin pula berkata, mereka telah melakukan ikhtiar walaupun di dalam kertas nampak agak sukar. Menurutnya, bantahan yang dilakukan memang kuat, bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan mahkamah namun mereka berharap keputusan itu nanti akan memberi keadilan kepada semua.

“Banyak benda yang meragukan berlaku sepanjang PRU lalu,  sekiranya mahkamah adil sudah tentu kami boleh menang. Tunjukkanlah keadilan kepada rakyat. Itu sahaja harapan kami,” katanya.

Calon PKR Dun Tualang Sekah, Baldip Singh berkata, secara keseluruhannya, PR mempunyai bukti yang kukuh untuk  dibawa ke mahkamah namun semuanya bergantung kepada hakim yang akan memutuskan keputusan.

“Kami harap hakim dapat mendengar kes ini sebaik-baiknya dengan bukti yang ada kerana ia penting dalam menentukan hala tuju kerajaan yang akan mentadbir negeri Perak,” katanya.

Untuk rekod, calon PR tewas majoriti 53 di Lubuk Merbau, Manjoi (132), Manong (231), Pasir Panjang (304), Rungkup (613), Selama (619), Tualang Sekah (2,046), Chenderiang (4,767) dan Parlimen Kuala Kangsar (1,082).

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang maklumat lanjut, bila dan kerusi ketetapan mana yang akan dibariskan untuk difailkan melalui petisyen PRU13.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan