Selasa, 8 Oktober 2013

Sejarah pemilihan dan status quo Umno

SEDIKIT mengenai sejarah. Kali terakhir Presiden Umno dicabar dalam pemilihan parti adalah pada tahun1987. Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh kalah, Umno berpecah.

Kali terakhir Timbalan Presiden Umno dicabar adalah pada tahun 1993 apabila Anwar Ibrahim mencabar Abdul Ghafar Baba. Abdul Ghafar menarik diri daripada bertanding. Anwar menang tanpa bertanding. Sebulan kemudian Abdul Ghafar meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Anwar menggantikan beliau.

Sejak itu, atas alasan perpaduan, dua jawatan teratas Umno itu tidak ditandingi lagi. Apabila Dr Mahathir bersara pada bulan Oktober 2003 dan digantikan oleh Abdullah Ahmad Badawi beliau juga mengambil alih sebagai Presiden Umno.

Apabila Abdullah dipaksa meletakkan jawatan pada bulan April 2009, Mohd Najib Abdul Razak menggantikan beliau dan dalam pemilihan Umno berikutnya disahkan sebagai Presiden dan Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Timbalan Presiden.

Selain Dr Mahathir, hanya Tunku Abdul Rahman Putra dan Hussein Onn pernah dicabar sebagai Presiden. Tunku dicabar oleh Ahmad Fuad Hassan, seorang ulama dan Pengerusi Badan Agama Umno, pada pemilihan tahun 1951.

Ahmad Fuad adalah sahabat akrab Onn Jaafar. Beliau keluar Umno, mengasaskan PAS dan menjadi Yang DiPertuanya yang pertama pada tahun 1951. Pada tahun 1953 beliau keluar Pas setelah cadangannya menggabungkan Pas dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP pimpinan Onn gagal. Beliau  kemudian menyertai IMP dan selepas itu Parti Negara yang menggantikan IMP.

Hussein menghadapi cabaran kamikaze oleh Sulaiman Palestin dalam pemilihan 1978. Beliau menang dengan mudah dengan memperoleh 898 undi berbanding Sulaiman sebanyak 250.

Kita lihat bagaimana, sejak pemilihan 1987, Umno begitu takut mempertandingkan jawatan Presiden dan sejak itu. Jawatan Perdana Menteri seolah-olah penentu kepada jawatan Presiden Umno.

Serentak itu juga, garis pemisahan antara Umno dan kerajaan menjadi semakin kabur. Maka tidak hairanlah apabila kerajaan tidak popular Umno turut tidak popular sebab orang ramai keliru antara Umno dan kerajaan, kerajaan dan Umno.

Pemilihan agung tidak lagi instrumental dalam menentukan siapa menjadi Presiden dan nasib Presiden sebagai Perdana Menteri.

Nasib Presiden Umno sebagai Perdana Menteri Malaysia ditentukan oleh pendapat umum dan oleh kebangkitan ahli seperti yang berlaku ke atas Abdullah pada tahun 2009. Hal yang sama akan menentukan kekal atau tidak Mohd Najib sebagai Perdana Menteri.

Naib Presiden Tumpuan 2013

Memandangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, aksi pemilihan pucuk pimpinan Umno kali ini tertumpu kepada tiga jawatan Naib Presiden.

Penyandang - Ahmad Zahid Hamidi (berusia 60 tahun), Hishammuddin Hussein (52) dan Shafie Apdal (55) - ditentang oleh Mohd Ali Rustam (64), Mohamed Isa Abdul Samad (63) dan Mukhriz Mahathir (48 tahun).

Dalam pertandingan jawatan nombor tiga ini, apa sahaja boleh berlaku. Daripada tiga penyandang, Ahmad Zahid nampak kukuh, tetapi Hishammuddin dan Shafie boleh dicabar.

Kalau pemilih tahu dan masih ingat, Mohd Ali dan Isa pernah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin dalam pemilihan parti sebelum ini.

Dalam pemilihan 2008, Mohd Ali cuba mempertahankan jawatan Naib Presiden yang dimenanginya pada tahun 2004, tetapi dihalang setelah Lembaga Disiplin mendapati beliau melanggar peraturan pemilihan berkaitan tuduhan politik wang.

Mohd Isa memenangi kerusi Naib Presiden dalam pemilihan 2004 dengan undi terbanyak tetapi dibatalkan setelah Lembaga Disiplin mendapati beliau terbabit dengan politik wang dan digantung keahlian selama tiga tahun hingga 2008.

Satu-satunya muka baru dan termuda dalam barisan calon Naib Presiden adalah Mukhriz. Selain usia, kelebihan Mukhriz adalah beliau berjaya memimpin Umno merampas balik Kedah daripada Pas dalam PRU 5 Mei lalu.

Namun pengaruh Mohd Ali and Mohd Isa tidak boleh dipandang remeh. Kedua mereka mempunyai sokongan akar umbi yang kuat dan pemilihan kali ini, dengan bilangan pemilih kira-kira 150,000 orang, unsur akar umbi adalah kuat.

Khairy Mempunyai Jalan Mudah

KETUA Pemuda, Khairi Jamaluddin, dicabar oleh empat orang iaitu Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Setiawangsa, Irwan Ambak, Ketua Cawangan Umno Bendang Baru, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi,  Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, dan bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Abdul Karim Ali.

Walaupun beliau dibebani oleh tuduhan menjadi sebahagian daripada Budak Tingkat Empat era Abdullah, beliau berjaya mengalahkan Dr Khir Toyo dan Mukhriz dalam pemilihan 2008.

Beliau baru berusia 37 tahun dan telah menjadi menteri penuh. Apa pun persepsi umum terhadapnya, prestasi beliau sebagai Ketua Pemuda, pemimpin generasi pasca-DEB dan pemikir semasa adalah memberangsangkan.

Pencabar beliau, termasuk Akhramsyah, adalah pemimpin akar umbi. Tiga persoalan timbul.

Pertama, apakah kepemimpinan Pemuda yang ada sekarang sepakat bahawa Khairy adalah ketua yang baik justeru itu tidak perlu diubah?

Kedua, adakah penyertaan ramai pemimpin akar umbi dalam percubaan merebut jawatan Ketua Pemuda mencerminkan kebangkitan generasi muda Umno?

Ketiga, adakah Khairy tidak popular dengan kepemimpinan ajar umbi?

Apa pun, kecenderungan dan keberanian mereka menawarkan diri adalah dialu-alukan.

Ketua Wanita Penuh Kontroversi

Shahrizat Abdul Jalil (60 tahun) menghadapi cabaran yang tidak diduga daripada bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah, Pahang. Turut mengemukakan pencalonan adalah Raihan Sulaiman, anak Allahyarham Sulaiman Pelestin.

Dengan beberapa kontroversi di sekelilingnya, kedudukan Shahrizat boleh disifatkan sebagai “goyah” tetapi masih sukar dijatuhkan.

Beliau seorang yang diplomatik dan pandai mengambil hati. Hati terakhir yang dipikatnya ialah hati Perdana Menteri yang baru saja melantiknya sebagai Penasihat Hal Ehwal Wanita bertaraf menteri, walaupun Mohd Najib sudah ada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Rohani Abdul Karim).

Jawatan Ketua Puteri yang ditandingi oleh Ahli Parlimen muda Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, dan Ketua Puteri Umno Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim Othman, berupa persaingan sama rata.

Dengan bilangan calon yang mendaftar sebanyak 261 orang bagi jawatan Majlis Tertinggi dan tiga sayap parti, pemilihan kali ini menjanjikan persaingan yang hebat dan terbuka.

Ia boleh menjadi permulaan kepada berakhirnya politik wang atau memburukkannya lagi gejala itu. Tugas Lembaga Disiplin menjadi bertambah berat. Kewibawaan pemilihan bergantung kepadanya.

Wallahualam.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis.

Husam Bidas Pentadbiran Kelantan yang baru

Husam Musa

KOTA BHARU - Seorang Adun Pas yang juga bekas exco kanan kerajaan Kelantan hari ini membuat kejutan apabila membidas beberapa tindakan kerajaan negeri yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang dari konsep ketelusan.
Datuk Husam Musa (Pas-Salor) yang membahaskan usul Belanjawan 2014 kerajaan Kelantan antara lain membangkitkan isu pembalakan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang dan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu.
Menyentuh isu pembalakan itu, Husam meminta kerajaan negeri tidak meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutan simpan berkenaan.
Tegasnya ketika Kelantan diteraju Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, satu keputusan sudah dicapai agar semua permohonan baharu di kawasan hutan simpan itu
mesti ditolak.
"Seingat saya, kata Tok Guru (Nik Abdul Aziz), Hutan Ulu Sat dan Cabang Tongkat adalah paru-paru untuk mengeluarkan udara segar dan bersih bagi penduduk
Kelantan. Biarlah ia kekal untuk anak cucu kita," kata Husam yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan.
Husam juga berkata, syarikat berkenaan bakal menerima kawasan tersebut tanpa membuat sebarang tender.
"Ia sangat meragukan sekali. Seingat saya, semasa pentadbiran YAB Tok Guru dahulu, tidak ada kawasan seluas itu diberikan kepada mana-mana individu.
Adakah hanya dengan permohanan ringkas dua muka surat, serta-merta permohonan ini akan ditimbangkan?," katanya.
Mengenai kenaikan tarif air, Husam berkata, jika Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) diurus dengan lebih amanah, kenaikan itu sepatutnya boleh dielak.
Beliau berkata AKSB sebenarnya telah gagal meningkatkan kualiti bekalan air di Kelantan walaupun beberapa loji air utama telah dinaik taraf.
Husam memberi contoh naik taraf Loji Rawatan Air Jeli bertujuan mencapai 10 juta liter (JLH) air sehari dengan kos RM21 juta, namun hanya mencapai 6.6 JLH.
"Naik taraf loji rawatan air Bukit Remah, Tanah Merah dengan kos RM16.4 juta bagi meningkatkan pengeluaran kepada 42 JLH tetapi pencapaian 36.6 JLH. 
"Naik taraf loji rawatan air Pintu Geng membabitkan kos RM52 juta dengan sasaran 30 JLH namun dengan kos sebesar itu hanya mengeluarkan 12.5 JLH,"
katanya.
Untuk mengurangkan kebocoran paip, AKSB membelanjakan RM130 juta setakat Julai tahun ini, namun kadar air tanpa hasil masih 52 peratus, bererti gagal
sama sekali, katanya.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila kerajaan negeri yang baharu ini menamatkan kontrak dengan kontraktor dari Korea Selatan untuk membina Lebuh Raya Rakyat yang diasaskan olehnya kira-kira dua tahun lepas.
"Kerajaan baharu tidak boleh dengan mudah memutuskan hubungan dengan kotraktor yang dikira berkebolehan yang telah dipilih lebih awal dan datang dengan cadangan baharu yang pada hemat saya meragukan," katanya.
Husam yang ditemui di luar dewan selepas itu berkata segala tegurannya adalah kerana sayangkan Kelantan dan mahu melihat negeri itu jauh lebih maju.
"Kerajaan baharu ini masih jauh lagi dan apa yang saya sebutkan ini bukanlah salah kepimpinan," katanya. - Bernama

Palestine

Tanah Rahmat
Bagi kedua-dua pihak Islam dan Yahudi, tanah yang didiami oleh Palestin dan Israel sekarang merupakan tanah yang istimewa, yang telah ditentukan oleh Allah sejak ribuan tahun lampau.
Bagi umat Islam, di tanah inilah terbinanya Masjidil Aqsa, iaitu masjid ketiga paling mulia di dunia ini, setelah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Bagi penganut Yahudi pula, tanah tersebut merupakan “Tanah Yang Dijanjikan Tuhan” kepada mereka. Di situlah nenek moyang mereka berasal (Bani Israel), dan di situlah kampung halaman mereka. Mereka percaya, di tanah itulah terletaknya Bukit Zion, dan situlah tertanamnya Temple of Solomon, iaitu kuil suci mereka.

Atas kedua-dua sebab inilah, tanah tersebut menjadi rebutan antara Muslim dan Yahudi sejak dari dahulu, hinggalah membawa kepada pertumpahan darah sekarang.
Bagaimana dengan Kristian pula? Kristian juga, menganggap tanah tersebut sebagai tanah suci. Di Temple of Nazareth, yang terletak di tanah tersebut, merupakan tempat kelahiran Nabi Isa. Di tanah itulah Nabi Isa menyampaikan ajarannya, dan di tanah itu jugalah Nabi Isa disalib (mengikut kepercayaan kristian).
Sejarah Awal
Sebenarnya sejarah bani Israel wujud sedari zaman Nabi Ibrahim lagi. Namun, kita susuri sedari kependudukan Bani Israel itu di Mesir, sepertimana yang diutuskan Nabi Musa a.s kepada mereka.  Kita tahu melalui alQuran, bahawa Firaun dan tenteranya mengejar Nabi Musa dan kaumnya sehingga ke Laut Merah, di mana ketika itu Nabi Musa menggunakan mukjizatnya membelah dan menyeberangi lautan tersebut.
Setelah itulah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israel mendiami tanah Palestin tersebut. Kita boleh baca sendiri dalam alQuran, betapa kaum ini semakin lama semakin “besar kepala”, meminta yang pelbagai dari Nabi Musa dan sebagainya. Kita juga boleh lihat kisah Talut dan Jalut yang berlaku setelah kewafatan Nabi Musa, sebagaimana yang diceritakan di dalam alQuran di surah alBaqarah.

Setelah Talut menawan kembali tanah palestin tersebut dari kekuasaan Jalut, tampuk pemerintahan Palestin disambung pula oleh Nabi Daud. Seterusnya disambung oleh Nabi Sulaiman, dengan bala tenteranya dan kegemilangan kerajaannya (termasuk haiwan, jin dan angin). 
Palestin dimiliki oleh Bani Israel, sehinggalah lebih kurang 60 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa. Pada tempoh ini, kerajaan Rom menekan kependudukan Bani Israel di tanah Palestin tersebut, sehinggalah akhirnya tanah Palestin dijarah oleh tentera Rom dan kaum Bani Israel diusir keluar lalu. Lalu tersebarlah kaum Bani Israel, atau dikenali sekarang sebagai Yahudi, ke serata dunia.
Sejak dari itu, tanah Palestin menjadi milik kerajaan Rom. Sehinggalah setelah kelahiran Nabi Isa, seterusnya kewujudan agama Kristian. Lebih kurang pada tahun 300 Masihi, kerajaan Rom di bawah pemerintahan Raja Constantine yang menjadikan Constantinople sebagai pusat pemerintahan, mengalami Kristianisasi. Sejak dari tempoh tersebut, kerajaan Rom menguasai Palestin.
Kedatangan Islam
Palestin kekal di bawah milik kerajaan Rom sehinggalah kelahiran Nabi kita Muhammad s.a.w. Setelah Rasulullah berjaya menubuhkan Empayar Islam, beliau wafat pada 632 Masihi. Seterusnya empayar Islam semakin berkembang, dan Palestin berjaya ditawan dari kerajaan Rom pada tahun 638 Masihi. Maka sedari itulah Palestin menjadi milik Islam, sebagai tanah suci yang ketiga selepas Makkah dan Madinah.

Sepanjang dari tempoh tersebut, kerajaan Rom yang telah menjalani Kristianisasi, mengalami pelbagai perubahan dari sudut struktur pemerintahan. Bangsa-bangsa asal Eropah seperti Vikings, Magyar dan sebagainya dikristiankan, dan pemerintahan dikuasai oleh golongan Church.
Sejak dari 1000 Masihi, tentera Kristian telah melakukan pelbagai usaha menawan kembali Palestin. Pada tahun 1063, Pope Alexander II memberikan “fatwa” mengerahkan penganut Kristian untuk berjuang mendapatkan kembali Palestin, dan barangsiapa yang berjuang diberikan status kemuliaan dan pengampunan tertinggi. Itulah yang dikenali sebagai Perang Salib (Crusades)
Akhirnya pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin, dan menguasai tanah suci tersebut selama hampir 200 tahun.
Menawan Semula
Setelah Palestin ditawan, kerajaan Islam yang sedia ada konflik dalaman pada ketika itu, semakin hilang semangat. Keadaan berlanjutan sehinggalah lahirnya seorang pemimpin agung, yang dikenali sebagai Salahuddin Al Ayyubi. 
Salahuddin Al Ayyubi, menyatukan masyarakat Arab yang ketika itu berpecah belah akibat perbezaan mazhab dan aliran, seterusnya membawa tentera Islam menyerang kembali Palestin. Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibunegara Palestin berjaya ditawan, dan pada tahun 1291 kubu terakhir tentera Salib di tanah suci tersebut berjaya dimusnahkan.

Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai. Malahan, penduduk asal Palestin iaitu Yahudi/Bani Israel dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka, walaupun masih ramai yang bermastautin di luar. Kerajaan Islam berkembang meluas, hinggalah masuk ke era pemerintahan Turki Uthmaniyyah.
Zaman Turki Uthmaniyyah mengalami kejatuhan sejak dari abad ke-19 lagi. Proses modenisasi semakin berlaku, dan kebergantungan terhadap kuasa barat semakin wujud. Krisis-krisis dan konflik dalaman melemahkan lagi kekuasaan empayar Turki Uthmaniyyah. Khalifah pada masa tersebut hanyalah pada namaEmpayar Islam semakin lemah, di bawah kekuasaan barat seperti Britain dan Perancis.
Perang Dunia Pertama
Akhirnya, pada tahun 1914, tercetusnya perang dunia pertama. Perang dunia pertama terdiri daripada 2 kuasa besar, iaitu Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia menentang Pakatan Pusat iaitu Jerman dan Austria/Hungary. Setelah perang berterusan, negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Italy menyertai Pakatan Bertiga, manakala Kerajaan Turki Uthmaniyah pula menyertai Pakatan Pusat.

Berada di bawah Pakatan Pusat, kerajaan Turki Uthmaniyyah diserang hebat oleh Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia. Kerajaan Islam Timur  diserang dan ditawan oleh Britain. Kerajaan Islam Barat yang menjangkaui sehingga ke Algeria, Sudan dan negara-negara utara Afrika, dikuasai oleh Perancis. Kerajaan Islam juga diserang dari utara, oleh Russia, menyaksikan Russia menawan kawasan utara kerajaan Islam.
Perlu diberi perhatian, pada ketika ini, masih belum wujud negara bangsa, kerajaan Islam adalah disatukan di bawah satu pemerintahan khalifah, manakala setiap kawasan pula ditadbir oleh gabenor masing-masing.
Perpecahan Negara Arab
Pada ketika tempoh inilah, kerajaan Turki Uthmaniyyah mengalami konflik yang semakin hebat. Britain melalui perisiknya yang dikenali sebagai Lawrence of Arabia, menyuburkan semangat nasionalisma di negara-negara Arab. Pejuang kebangsaan/nasionalisma Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal 1, berpaling tadah dan memihak kepada Britain. Sejak dari itulah kerajaan Arab menjadi tali barut Britain.

Pada tahun 1915, Britain mula menduduki kawasan Iraq. Akhirnya pada 1917, Britain menduduki semula kawasan Palestin. Tentera Britain, diketuai General Allenby, memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan – “hari ini, perang salib sudah berakhir”.
Pada 1917, Britain mengisytiharkan Deklarasi Balfour, iaitu perjanjian antara kerajaan Britain dengan ketua persatuan Yahudi Britain ketika itu, yang mana antaranya menjanjikan tanah Palestin kepada Yahudi. Penempatan Yahudi di Palestin meningkat, dari 50,000 sebelum itu kepada mencecah setengah juta, manakalan penduduk Islam Palestin ketika itu hampir mencecah 1.4 juta.
Wakil dari Yahudi ketika deklarasi tersebut, merupakan seorang Yahudi bernama Chaim Weizzmann. Weizzman juga merupakan seorang saintis, malahan saintis pertama yang menghasilkan bahan kimia acetone, seterusnya acetone digunakan sebagai cordite, iaitu sejenis bahan letupan yang menyumbang besar kepada kejayaan Britain dalam perang tersebut. 
Weizzman mendesak setiausaha luar Britain ketika itu, Arthur Balfour, supaya diadakan Deklarasi tersebut. Kerana terhutang budi ke atas sumbangan Weizzman, kerajaan Britain bersetuju. Pada mulanya, Britain menawarkan tanah di Uganda kepada Weizmann, namun Weizmann menolak dan mahukan Palestin. Dikatakan, Weizmann bertanya kepada Balfour,
“Encik Balfour, katakanlah saya menawarkan Paris dan London kepada encik, yang mana satukah yang encik mahukan?”
“Tetapi, kami sememangnya sudah memiliki London!”
“Betul itu, tetapi ketika London masih lagi sebuah kawasan paya, kami telahpun memiliki tanah Palestin!”
Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin.
Pada tahun 1919, Emir Faisal I ketika itu pula menandatangani perjanjian antara beliau dengan  Chaim Weizzmann, menyatakan sokongan sepenuhnya beliau dan kerajaan Arab kepada Deklarasi Balfour.
Akhirnya pada tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama. Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah Palestin. British dan Perancis mula menjalankan kolonisasi di tanah-tanah jajahannya. Dari situ wujudlah negara bangsa, apabila sempadan-sempadan digariskan memisahkan sempadan agama.
Kejatuhan Turki Uthmaniyyah.
Pada tahun 1918, tentera kolonial Britain menduduki pusat pemerintahan Turki Uthmaniyyah, iaitu Istanbul. Pada tahun 1922, setelah tamat Perang Dunia Pertama, sebuah Persidangan Lausanne diadakan, yang antaranya mempunyai beberapa tuntutan seperti – sistem khalifah ditamatkan, khalifah mestilah dibuang negeri, harta khalifah dirampas, dan kerajaan turki baru akan ditubuhkan atas dasar sekular. Ya, persidangan tersebut menjanjikan kemerdekaan ke atas negara Turki.
Seorang ahli Parlimen Turki pernah bertanya kepada Lord Curzon, ketua perunding pihak pakatan ketika itu – “Kenapa hanya Turki dimerdekakan, sedangkan negara-negara Arab yang lain masih di bawah pemerintahan kolonial?”
Lord Curzon menjawab – “Hakikatnya Turki telah dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatannya – Khalifah dan Islam.
Dalangnya utamanya, Mustafa Kamal Attartuk. Dia mengeluarkan ugutan ke atas kabinet turki ketika itu, lalu merombak parlimen sedia ada yang tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Parlimen kedua yang ditubuhkan juga tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Akhirnya, Mustafa Kamal Attartuk mengadakan konspirasi politik lalu merampas tampuk pemerintahan.
3 Mac 1924, kerajaan khalifah secara rasminya ditamatkan. Pada pagi hari tersebut juga, khalifah terakhir, khalifah Abdul Mejid II, diusir keluar dan dibuang negeri. Mustafa Kamal Attartuk mengambil mengambil takhta, dan proses pengsekularan bermula.
Holocaust
Keadaan berterusan, sehinggalah naiknya seorang pemerintah Jerman ketika itu, iaitu Adolf Hitler. Ketika tercetusnya perang dunia kedua oleh beberapa sebab, Hitler melaksanakan pelan pemusnahan kaum yang dikenali sebagai Action T4. Pelan ini merencanakan pembunuhan euthanasia beramai-ramai keatas golongan tertentu, majoritinya Yahudi.
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, dianggarkan seramai hampir 6 juta Yahudi di seluruh Eropah mati dibunuh.
Setelah mengalami kerugian yang besar, Britain berundur dari Palestin dan tanah-tanah jajahannya yang lain pada 1948.
Penglibatan Amerika Syarikat

Amerika Syarikat, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel. Pada asalnya, Israel tidaklah wujud sebagai sebuah negara yang hakiki. Setelah holocaust yang dilakukan oleh Hitler tamat, jumlah penduduk Yahudi yang ada adalah sedikit, serta mereka hidup dalam kesusahan dan ketakutan.
Pada ketika itulah, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden US ketika itu, Harry Truman. Pada November 1947, tuntutan tersebut dibawa ke persidangan PBB lalu PBB mendeklarasi pemisahan Palestin. Pada 16 May 1948, kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin, dengan sokongan dari PBB. Presiden Harry Truman menyokong sepenuhnya penubuhan Israel, maka wujudlah penempatan Israel di tanah Palestin sehingga kini. Presiden Israel yang pertama – Chaim Weizmann.
Palestin Sekarang

Sejak dari holocaust, ramai Yahudi berhijrah ke Amerika atas dasar terbuka negara tersebut terhadap mereka, serta ramai juga yang pulang ke tanah air di Israel. Yahudi di Amerika diterima dengan tangan terbuka, bantuan dan pekerjaan diberikan kepada mereka atas dasar belas kasihan akibat holocaust tersebut. 
Dari situlah, Yahudi di Amerika berkembang dan memegang tampuk ekonomi dan pentadbiran Amerika. Amerika, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memberikan sokongan tanpa putus-putus kepada negara Israel, yang didirikan di atas tanah Palestin yang dirampas secara haram.
Sehingga kini, Israel terus-terusan menyerang Palestin dalam usaha meluaskan sempadannya. Palestin pula berjihad, dalam usaha menawan kembali Masjidil Aqsa. Sejak kerajaan khalifah Islam tumbang, tiada sesiapa lagi yang mahu menyokong Palestin.
Negara-negara Islam yang lain tunduk takut dan akur kepada Amerika. Sampai bila keadaan ini akan berakhir? Hanya 2 – sama ada Palestin akan terus dihapuskan dan Masjidil Aqsa dimusnahkan dalam usaha mereka mencari Temple of Solomon, ataupun tertegaknya kembali kerajaan khalifah Islam menyokong perjuangan Palestin.
Di mana kita? Kita boleh berdiam diri tidak berbuat apa-apa, sekaligus menjadikan kesudahan yang pertama tadi sebagai realiti.
Ataupun, kita boleh berusaha melakukan sedaya upaya menyokong perjuangan Palestin, yang membawa kepada kesudahan yang kedua.

PBSMR Ganti PMR Mulai Tahun 2014

PBSMR adalah kata ringkasan untuk Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah. Mengikut laporan akhbar-akhbar utama, mulai tahun hadapan peperiksaan PBSMR hanya akan melibatkan empat mata pelajaran teras sahaja iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang akan dinilai. Oleh kerana ia baru sahaja diumumkan, jadi cara perlaksanaannya belum lagi diketahui.

Peperiksaan PMR yang bermula 2/10/2013 mula diperkenalkan pada 1993 menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

PBSMR Ganti PMR Mulai Tahun 2014


PBSMR-Mulai-Tahun-2014

Mengikut daripada pautan akhbar Berita Harian, Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bakal digantikan kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR) yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
Penilaian tersebut akan disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) merungkai empat subjek untuk dinilai kepada pelajar selain memberi dua cara untuk menjawab soalan sama ada dalam bahasa Malaysia atau Inggeris.
Menurut sumber, perkara tersebut akan diterangkan oleh jabatan Pelajaran Negeri sebelum penghujung tahun ini.
Pelaksanaan dan peperiksaan akan dijalankan oleh guru di sekolah tersebut dengan pemantauan LPM yang bertindak sebagai pemerhati.
Peperiksaan itu hanya melibatkan empat subjek, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Walaubagaimanapun, mata pelajaran seperti Geografi, Sejarah, Pendidikan Islam dan Kemahiran Hidup akan dinilai menerusi semakan berperingkat dibawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) seperti kerja khusus, kursus amalan dan projek.

Permohonan Ke Kolej Vokasional Dan Sekolah Menengah Teknik Tahun 2014

Murid-murid yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) Tahun 2013 adalah dipelawa untuk memohon ke Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik seluruh Malaysia bagi sesi pengambilan tahun 2014.
Syarat Kemasukan Murid Ke Kolej Vokasional & SMT:

Syarat Umum:
i. Warganegara
ii. Tingkatan Tiga Tahun 2013
iii. Sihat dan Sesuai Fizikal
iv. Bebas daripada Penyakit Kronik

Syarat-syarat khas lain akan dipaparkan setelah anda memasukkan nombor myKad dan Angka Giliran PMR anda. Selamat mencuba...

Permohonan-Ke-SMT-dan-KV

Tarikh Tutup Permohonan : 25 DISEMBER 2013

Isnin, 7 Oktober 2013

"Konsert K-POP dibiayai KBS" -KJ

Saya memandang serius pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Jika kita serius melakukan transformasi kearah kerajaan yang lebih telus dan amanah, laporan tersebut tidak boleh diketepikan. Rakyat tidak mahu melihat pemimpin-pemimpin kerajaan membisu tentang laporan ini.

Saya juga tidak boleh menggunakan alasan bahawa laporan ini adalah tentang perbelanjaan di KBS sebelum saya dilantik sebagai menteri. Prinsip kebertanggungjawaban bersama atau collective responsibility bermakna saya mesti menjawab dan bertindak keatas apa yang berlaku dalam kementerian saya. Kita tidak boleh lari dari tanggungjawab dan amanah.Oleh itu saya telah jelaskan bahawa dalam kes claim kerja yang dibayar oleh Majlis Belia Malaysia dimana pembayaran untuk kerja yang sama dibuat beberapa kali, pihak SPRM telahpun menjalankan siasatan dan saya diberitahu siasatan tersebut sudah sampai peringkat terakhir.

Mengenai konsert K-pop di sambutan Hari Belia 2012 yang mendapat perhatian orang ramai – memang betul konsert ini dibiayai oleh KBS. Kenyataan awal bahawa konsert itu ditaja oleh pihak swasta dibuat kerana pada ketika itu ada tawaran dari pihak swasta untuk menaja aktiviti tersebut. Namun, tajaan itu akhirnya tidak diberi dan KBS terpaksa tanggung pembayaran untuk konsert K-pop di Hari Belia 2012. Untuk makluman, acara konsert K-pop dibatalkan untuk Hari Belia 2013 dan seterusnya.

Mengenai perkara-perkara lain yang dibangkitkan dalam laporan audit, saya telah minta maklumbalas yang terperinci dari pegawai-pegawai tinggi KBS sebelum tindakan selanjutnya diambil pada pihak berkenaan yang bertanggungjawab keatas kes-kes tersebut. Yang pasti, kami di KBS akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan ketirisan dan kepincangan dapat diatasi. Dana karajaan adalah wang rakyat. Kita mesti accountable pada setiap sen yang dibelanjakan. Harap maklum dan kalau ada apa-apa lagi perkembangan saya akan muat naik disini.

YB Khairy Jamaluddin

Pengakuan daripada seorang menteri yang berani dan bertanggungjawab ke atas kementeriannya, jika sebelum ini mantan Menteri berkenaan menafikan bahawa pertunjukan Konsert K-POP pada hari belia negara menggunakan wang rakyat dan ditaja oleh syarikat swasta dalam dan luar negara. Terfikir juga kenapa syarikat swasta berminat untuk menaja sesuatu event yang sebegitu melainkan ada udang di sebalik kue-tiaw.

Mawar Berduri

Sungguh cantik mawar itu. Kelopaknya berseri, harum mewangi. Kembangnya mekar di taman larangan mengamit mata yang memandang. Kecantikannya mengundang kekaguman sang kumbang. Pada mawar yang indah ini, dititipkan duri tajam. Sebagai benteng pertahanan, untuk melindungi keindahannya. Agar tidak sewenangnya dipetik atau diganggu sang kumbang.

Tajamkanlah duri itu, kerana ia pagar sang mawar. Yang melindungi keindahannya dan memertabatkan nilainya. Suburkanlah duri itu dengan akhlak, iman dan takwa. Semakin tajam duri itu, semakin kuat ia menjaga kesucian sang mawar.

Jangan sesekali dibuang duri itu. Hilang duri, hilanglah pelindung, menjadikan si mawar cantik pada luaran, tetapi tiada bernilai. Sesiapa saja boleh menyentuh dan memetiknya sehingga layu sebelum sampai waktunya.

Sebaliknya, mawar berduri akan terus mekar.

Sukar untuk disentuh. Kuntumnya akan sentiasa terpelihara, tidak akan sekadar dipegang atau dipermainkan. Sehingga datang sang kumbang yang benar- benar berani menghadapi duri itu untuk memetik si mawar idaman.

Mawar berduri...... harumnya kerana ketinggian agamanya, pesonanya kerana keluhuran akhlaknya, anggunnya kerana perhiasannya.

Janganlah mengeluh kerana duri itu. Tajamnya duri itu kerana keteguhan menjaga maruah, kerana manis bicara, kerana ketinggian takwa dan kerana kekuatan iman. Jadilah bunga mawar yang indah berpagarkan duri tajam. Indah dipandang tetapi sukar dipetik.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan paling indah adalah wanita solehah." (Hadis riwayat Muslim)

http://waazin.blogspot.com/2013/10/seindah-mawar-berduri.html